Images
  • police cordon
    Gambar fail. (Gambar: AFP)

Suspek kes rogol maut terjatuh bangunan ketika larikan diri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan rogol di sebuah premis di Bandar Kinrara Puchong pada 11 Mei lalu maut selepas terjatuh dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, malam tadi (18 Mei).

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata suspek berusia 22 tahun itu cuba melarikan diri selepas polis melakukan serbuan di rumahnya kira-kira pukul 10.10 malam.

"Anggota polis bertindak memecahkan pintu selepas suspek enggan membuka pintu. Suspek kemudiannya cuba melarikan diri ke unit bawah dengan bergayut di jeriji dapur.

"Selepas dipujuk, suspek masih enggan menyerah diri sebelum terjatuh ke bawah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkait dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pada Selasa lalu, seorang wanita warga Indonesia serta lelaki warga Bangladesh berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan mangsa kes berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun ditahan pada Ahad di Kuala Selangor.

Pada 13 Mei lepas, satu video berhubung kejadian samun dan rogol oleh dua lelaki di sebuah premis Puchong, menular di media sosial. 

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top
>