Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Selangor setuju untuk tarik balik tauliah mengajar Dr Zamihan, arah pantau ceramah agama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin 

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Selangor setuju untuk tarik balik tauliah mengajar Dr Zamihan, arah pantau ceramah agama

(Gambar: BH Malaysia)

Diterbitkan : 16 Oct 2017 09:50PM Dikemas Kini : 16 Oct 2017 09:52PM

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin serta membatalkan keanggotaannya dalam Jawatankuasa Tauliah negeri itu.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata perkara tersebut disetujui Sultan setelah berbincang dengan Dewan Diraja Selangor pada hari ini (16 Okt).

“Tindakan itu adalah lanjutan daripada satu ceramah agama disampaikan oleh Zamihan yang mengandungi perkataan-perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Tambahan pula, ceramah disampaikan oleh beliau itu diadakan di masjid diraja yang mana ceramah agama seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata penarikan balik tauliah dan pembatalan keanggotaan Dr Zamihan selaras dengan peruntukan Peraturan 4 dalam Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Berikutan itu juga, Encik Hanafisah berkata Sultan Sharafuddin memerintahkan supaya semua pengurusan masjid dan surau di Selangor harus membuat rakaman video bagi setiap ceramah dan kuliah yang dianjurkan di institusi berkenaan.

Katanya ini bagi merekod dan memantau setiap isi kandungan ceramah yang dianjurkan mematuhi peruntukan undang-undang digariskan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 serta Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Selain itu, beliau berkata baginda memerintahkan supaya penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh negeri hendaklah dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja kecuali untuk laungan azan serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Larangan ini adalah bagi memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

“Raja-raja Melayu berpendirian bahawa imej Islam sebagai agama persekutuan, adalah agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif serta wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” katanya.
 
Menurut Encik Hanafisah lagi, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan semua rakyat Selangor supaya menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan dan keamanan negara.

Dr Zamihan yang juga merupakan pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum ini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dan mengkritik institusi diraja.

Beliau yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu (14 Okt).

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan