Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sultan Johor kritik Melayu yang tolak amalan Melayu dan “mahu jadi orang Arab”

Sultan Johor menggesa masyarakat Melayu supaya tidak meminggirkan budaya mereka yang unik.

Anggaran Waktu Membaca:
Sultan Johor kritik Melayu yang tolak amalan Melayu dan “mahu jadi orang Arab”

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Gambar: Facebook: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Diterbitkan : 25 Mar 2016 02:49PM Dikemas Kini : 25 Mar 2016 02:58PM

JOHOR BARU: Sultan Johor menggesa masyarakat Melayu supaya tidak meminggirkan budaya mereka yang unik.

Demikian menurut laporan The Star Online semalam (24 Mac).

Menurut Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, beliau kurang senang dengan sikap sesetengah orang yang mahu menghalang umat Islam daripada mengamalkan salam sedangkan ia merupakan amalan tradisi.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada insiden di mana ada pihak yang mengkritik putera sulungnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersalaman dengan isteri salah seorang pemain pasukan bola sepak JDT.

Sultan Ibrahim menegaskan beliau berpegang teguh kepada "budaya dan tradisi saya sebagai orang Melayu kerana saya dilahirkan sebagai orang Melayu."

MAHU JADI ORANG ARAB? TINGGAL DI ARAB SAUDI

"Jika ada di antara anda yang mahu menjadi orang Arab dan mengamalkan budaya Arab serta tidak mahu mengikut adat dan tradisi Melayu, terpulanglah," tambah beliau.

"Saya menyokong anda untuk tinggal di Arab Saudi."

"Itu adalah hak anda namun saya percaya masih ada orang Melayu yang berbangga dengan budaya Melayu. Sekurang-kurangnya saya jujur dan bukan hipokrit dan penduduk Johor kenal siapa yang memerintah mereka," tegas Sultan Ibrahim lagi.

Beliau turut memberi contoh, pilihannya untuk menggunakan perkataan-perkataan seperti Hari Raya berbanding Eid al-Fitr atau buka puasa dan bukannya istilah iftar.

"Saya gunakan perkataan-perkataan Melayu ini sejak saya masih anak kecil dan bercakap dengan arwah bapa saya sejak 50 tahun yang lalu," beliau memberitahu The Star Online.

"Saya tidak berhasrat menggantikannya dengan perkataan-perkataan Arab," katanya lagi.

MUFTI PERLIS MASUK GELANGGANG, ULAS KOMEN SULTAN JOHOR

The Star Online turut melaporkan respons Mufti Perlis Dr Muhd Asri Zainul Abidin terhadap kenyataan Sultan Ibrahim.

Dr Asri menulis di laman Facebooknya semalam, dengan berkata bahawa ia bukan satu kesalahan untuk mengamalkan budaya Arab.

Dr Asri menekankan, sementara Islam tidak memerintah penganutnya supaya mengamalkan budaya Arab, ia tidak salah di sisi agama bagi sesiapa yang ingin mengamalkannya, malah dalam sesetengah situasi ia tidak dapat dielakkan.

DR ASRI: "TIDAK SALAH GUNAKAN ISTILAH ARAB"

"Islam itu bukan agama perkauman Arab," ujar Dr Asri.

"Tiada salahnya kita menggunakan istilah-istilah ini seperti mana banyak istilah Inggeris kita guna dalam bidang yang lain. Bahkan banyak istilah Arab itu lebih mendekati maksud syarak dalam kerangka istilah ilmu," tambah Dr Asri dalam catatan Facebooknya itu.

Dr Asri menekankan: "Lebih daripada itu, al-Quran berbahasa Arab yang tidak boleh ditukar ganti dengan bahasa lain. Apa yang boleh, sekadar terjemahan maksud ayat-ayat al-Quran bagi yang gagal memahami teks Arabnya yang asal. Namun bacaan al-Quran kekal dalam bahasa Arab. Al-Quran bahasa Arab dan Nabi kita Muhammad s.a.w juga berbahasa Arab."

Menurut beliau Islam tidak menyuruh Melayu menjadi Arab dan tidak pula supaya Melayu menjadi Barat.

Dr Asri juga memetik sepotong ayat daripada Surah al-Hujurat yang menerangkan bahawa umat Islam digalak saling mengenali budaya masing-masing, iaitu 'kenal-mengenal antara satu sama lain'.

Beliau menambah bahawa sudah pasti antara tujuannya adalah untuk mengambil manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan