Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suami isteri mulakan kembara berbasikal dari Malaysia ke Makkah

Sepasang suami isteri kini mula mengembara dengan mengayuh basikal dari Malaysia ke Makkah, demi menunaikan ibadah umrah dan haji.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri mulakan kembara berbasikal dari Malaysia ke Makkah

Encik Ahmad bersama isterinya memulakan kembara berbasikal dari Malaysia ke Makkah. (Gambar-gambar: Facebook Angah Bmi)

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kini mula mengembara dengan mengayuh basikal dari Malaysia ke Makkah, demi menunaikan ibadah umrah dan haji.

Menurut laporan Harian Metro Encik Ahmad Mohd Isa, 27 tahun dan isterinya Noradilah Mohd Sapie, 28 tahun yang sudah mendirikan rumah tangga selama dua tahun berkongsi minat yang sama dan nekad mencabar keupayaan mereka melakukan ekspedisi berbasikal 'Kembara Memburu Hikmah'.

Sewaktu misi kayuhan dari Malaysia ke Makkah sejauh 17,000 kilometer itu, mereka akan melalui 13 negara dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan perjalanan.

MEMANG 'KAKI BASIKAL'

Menurut Encik Ahmad seperti yang dilaporkan Utusan Online, antara negara yang bakal dilalui termasuk Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Bahrain dan Arab Saudi.

“Kami bukan pengayuh basikal profesional, tetapi kami memang ‘kaki basikal’ dan membesar dengan berbasikal daripada zaman sekolah hingga ke universiti, kerana itu kami nekad mencapai impian ini," kata Encik Ahmad.

“Persediaan mental dan fizikal sudah kami lakukan dan setakat ini rekod kami berkayuh dari Perlis ke Kuala Terengganu dengan mengambil masa lapan hari,” beliau memberitahu Harian Metro.

Di laman Facebooknya, Encik Ahmad memuat naik sebuah video promosi bagi 'Kembara Memburu Hikmah'. 

Menurut beliau, perancangan asal adalah untuk memulakan kembara itu dengan menggunakan belanja sendiri dan bertolak pada 27 Disember tahun lalu.

Namun, dengan ketentuan Allah, mereka dipertemukan dengan beberapa pihak yang menawarkan untuk merakam kembara mereka dan menjadikannya sebuah 'travelog' bermutu.

Pasangan itu memulakan kayuhan mereka dari Masjid Negara semalam (8 Apr). Mereka turut membawa sebuah misi yang lebih besar, iaitu mesej perpaduan dan keamanan.

IMPIAN SEJAK KECIL

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad memberitahu Kosmo!, Encik Ahmad akan menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan mereka dalam menyampaikan misi tersebut.

“Mereka sebenarnya membawa semangat dan inspirasi rakyat Malaysia yang sayangkan perpaduan dan keamaan untuk dilaksanakan di negara-negara yang mereka lalui," ujar Dr Yusri.

“Selain misi tersebut, mereka berdua juga mempunyai misi mengumpul data dan maklumat mengenai penganut Islam dan isu-isu kemanusiaan sekaligus membina komuniti masjid secara atas talian,” katanya.

Sementara itu, Noradilah berkata, mengembara ke serata dunia terutama ke Makkah merupakan satu impiannya sejak kecil lagi, menurut Utusan.

“Saya berharap dengan sokongan padu daripada keluarga, kami dapat menyempurnakan misi ini sebaik mungkin. Kami juga merangka beberapa strategi bagi memastikan misi ini terlaksana,” ujarnya.

Ibu kepada Encik Ahmad, Nuridah Mohd. Isa, 50 tahun, berkata, beliau menyokong penuh cita-cita anaknya dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

“Diharapkan cita-cita Ahmad dan isteri tercapai sekali gus mencetus inspirasi kepada anak muda lain untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan