Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Suami isteri berbasikal ke India, misi Kembara Memburu Hikmah berakhir di Makkah April depan

Encik Ahmad berkata sehingga kini beliau dan isteri berkayuh sejauh 1,900 kilometer. 

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri berbasikal ke India, misi Kembara Memburu Hikmah berakhir di Makkah April depan

Pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie itu. (Sumber: Facebook/Kembara Memburu Hikmah)

Diterbitkan : 22 Jun 2016 06:42PM Dikemas Kini : 22 Jun 2016 06:56PM

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan mengayuh basikal dari Masjid Negara di Malaysia, pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 28 tahun dan Noradilah Mohd Sapie, 29, kini tiba di Kolkata, India.

Mereka memulakan perjalanan itu sejak 8 April lalu, dan ia adalah sebahagian daripada ekspedisi Kembara Memburu Hikmah (KMH) yang bermatlamat untuk menunaikan umrah dan ziarah ke Masjidil Haram, Makkah. Perjalanan mereka itu merangkumi 12 negara.

Encik Ahmad berkata sehingga kini beliau dan isteri berkayuh sejauh 1,900
kilometer. Mereka berdua meliputi jalan raya dan jalan kampung yang tidak berturap.

"Bagaimanapun rancangan kami untuk mengayuh basikal ke India dari Myanmar tidak dapat diteruskan kerana jalan raya di sempadan kedua-dua negara ditutup.

"Oleh itu, kami terpaksa menaiki penerbangan dari Yangon terus ke Kolkata
dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana," katanya kepada agensi Bernama.

Beliau menambah bahawa beliau masih belum merancang untuk mengayuh basikal secara serius kerana berpuasa dan kemungkinan menyambung semula selepas hari raya nanti.

Encik Ahmad berkata antara cabaran yang ditempuhi pasangan suami isteri itu termasuk terpaksa menyorong basikal selama tujuh jam tanpa berkasut sejauh 22km apabila melalui jalan berselut di sebuah perkampungan di Myanmar.

"Selain itu tayar basikal saya sudah masuk kali keempat ditukar kerana
terkena dawai dan kaca," katanya.

Berkongsi pandangan mengenai masyarakat Muslim di Myanmar dan Thailand pula, Encik Ahmad berkata jumlahnya kecil dan wujud pula perbezaan budaya berbanding masyarakat Islam di Malaysia.

"Bagaimanapun, sistem beraja Thailand dari dulu hingga kini tidak pernah
menghalang rakyatnya mengamalkan kehidupan beragama malah pendidikan Islam terus berkembang," kongsi beliau.

"Berbeza di Myanmar, masyarakat Islam di sana agak terasing, memandangkan suasana politik yang kurang menerima amalan Islam," katanya.

Selain melakukan misi kemanusiaan di setiap negara yang dijelajah, pasangan suami isteri itu turut membawa cabaran merekod data berkaitan sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat Islam.

Turut mengiringi misi KMH itu ialah Mohd Nur Aiman Mohd Zaid, 27 tahun, dan Amirul Ariff Abd Wahab, 28, yang bertindak sebagai kru penggambaran video.

Selain Myanmar, Thailand dan India, negara lain yang bakal dijelajah ialah
Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Bahrain dan Arab Saudi dengan jarak 12,235 kilometer.

Perkembangan semasa ekspedisi itu boleh diikuti melalui facebook Kembara Memburu Hikmah.

Encik Ahmad dan Cik Noradilah yang berasal dari Selangor, dijangka menamatkan misi itu dan tiba di Masjidil Haram pada April 2017.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan