Images
  • rohingya men
    Golongan lelaki kaum Rohingya di bandar Maugndaw di wilayah Rakhine. (Gambar: REUTERS/Soe Zeya Tun)

Siasatan krisis Rohingya: Golongan pelarian hadapi pelbagai kekejaman dan penyeksaan

GENEVA: Satu siasatan oleh pasukan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar ke Kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh mendapati, pelbagai kekejaman dan penyeksaaan dialami oleh para pelarian Rohingya.

Dapatan siasatan itu menunjukkan berlakunya pencabulan hak asasi kemanusiaan oleh pasukan keselamatan Myanmar yang bertentangan dengan kenyataan pemerintah baru-baru ini.

Siasatan itu juga mendapati kekerasan terhadap kaum minoriti Rohingya memang sengaja dirancangkan bertujuan mengusir mereka dari wilayah Rakhine.

Terdapat juga bukti-bukti yang boleh dipercayai bahawa tentera Myanmar menggunakan jerangkap samar di sepanjang sempadannya dengan Bangladesh untuk menghalang kaum Muslim Rohingya daripada kembali semula ke tanah air mereka.

Ini menjadikan penghantaran semula para pelarian Rohingya ke Rakhine, sukar dan mustahil untuk dilakukan.

"Maklumat yang boleh dipercayai menunjukkan pasukan keselamatan Myanmar sengaja memusnahkan harta benda penduduk Rohingya, membakar rumah-rumah mereka dan seluruh kampung di utara wilayah Rakhine.

Tujuannya bukan sahaja untuk mengusir penduduk itu beramai-ramai, malah untuk mencegah pelarian yang sudah melarikan diri, untuk kembali semula ke negara asal." jelas Thomas Hunecke, pegawai PBB, mengenai hak asasi manusia.    

- CNA/MM/aq

Komen Anda?

Top