Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Serbuan antimaksiat di Johor: 6 lelaki S'pura diambil keterangan, 39 yang lain diberkas

Polis Johor menahan 39 individu termasuk 30 wanita warga asing dalam enam serbuan Op Noda di sekitar Bandaraya Johor Bahru pada malam Sabtu (15 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Serbuan antimaksiat di Johor: 6 lelaki S'pura diambil keterangan, 39 yang lain diberkas

Gambar fail lelaki digari. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Jul 2017 05:11PM Dikemas Kini : 17 Jul 2017 05:16PM

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 39 individu termasuk 30 wanita warga asing dalam enam serbuan Op Noda di sekitar Bandaraya Johor Bahru pada malam Sabtu (15 Jul).

Sementara itu, 11 lelaki Malaysia dan enam lelaki warga Singapura yang dipercayai pelanggan, dirakamkan kenyataan mereka dan dibebaskan selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Azman Ayob kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 dan 55 tahun dan dipercayai menjalankan aktiviti tidak sihat dan tidak bermoral.

Beliau berkata serbuan yang bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir pada 5.00 pagi tadi itu, dilaksanakan ke atas rumah urut, spa dan pusat hiburan, melibatkan 10 pegawai dan 42 anggota.

"Hasil serbuan turut membawa kepada penahanan seramai sembilan lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan pusat hiburan tiada lesen perniagaan yang sah serta menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

"Kita juga menangkap wanita yang bekerja sebagai tukang urut terdiri daripada tujuh wanita warga Thailand, 20 wanita warganegara Vietnam dan tiga wanita warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, pihaknya juga berjaya menyelamatkan seramai lapan wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China yang bekerja sebagai tukang urut dan disyaki diekploitasi untuk menawarkan khidmat seks.

"Mangsa yang diselamatkan berusia antara 16 dan 34 tahun. Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang (dan Antipenyeludupan Migran 2007)," kata SAC Azman.

Dalam serbuan itu juga, polis merampas wang tunai berjumlah RM7,760 (S$2,500), 77 keping kondom, 27 botol minyak urut, 20 helai tuala dan lapan gulung tisu sebagai bahan bukti pendakwaan.

Tangkapan warga tempatan akan diambil tindakan di bawah Enakmen Hiburan Negeri Johor, Akta Imigresen dan Akta Kerajaan Tempatan manakala tangkapan ke atas wanita warganegara asing ini akan diambil tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Dari tempoh Januari sehingga Jun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor telah melaksanakan lebih 600 pemeriksaan dan serbuan di bawah Op Noda yang mana lebih 400 kes sudahpun dibawa ke mahkamah.

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan