Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Satu pertiga mahasiswa tidak anggap hadiah balasan perkhidmatan sebagai rasuah

 Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah mendapati satu daripada tiga pelajar universiti tempatan menyifatkan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan berbentuk rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Satu pertiga mahasiswa tidak anggap hadiah balasan perkhidmatan sebagai rasuah

Gambar hiasan. (Gambar: CHIP SOMODEVILLA / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Diterbitkan : 20 Jul 2017 08:18AM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 08:21AM

KUALA LUMPUR: Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah mendapati satu daripada tiga pelajar universiti tempatan menyifatkan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan berbentuk rasuah.

Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) itu juga mendapati 20.6 peratus responden beranggapan bahawa penglibatan secara langsung dalam proses pelantikan anggota keluarga bagi mengisi jawatan kosong di jabatan sebagai perbuatan yang dibolehkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata 28.1 peratus responden pula beranggapan pengambilan harta atau barangan pejabat seperti pemacu pena, dakwat pencetak, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi bukan satu kesalahan.

Selain itu, 37.3 peratus responden beranggapan bahawa mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan telah disediakan pihak penganjur adalah satu perbuatan yang tidak salah.

"Penemuan daripada kajian ini, sekiranya dijadikan kayu ukur, memerlukan kita untuk menyemak semula nilai yang dididik dan disemai dalam kalangan mahasiswa ini,” katanya dalam kenyataan semalam (19 Jul).

Dr Anis Yusal berkata hasil kajian itu tidak harus dipandang remeh, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi muda pada masa depan mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih baik.

"Kita khuatir kalau mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti yang dijelaskan di atas telah terpengaruh dengan 'role model' (peran contoh) yang salah.

"Mereka yang kelihatan seperti orang yang berjaya dalam kehidupan tetapi sebenarnya mendapat kejayaan dan kekayaan melalui jalan salah tidak sepatutnya dijadikan idola," katanya.

Beliau berkata dapatan kajian itu menimbulkan kerisauan kerana rata-rata mahasiswa ini akan menerima ijazah, memasuki alam pekerjaan dan seterusnya menjadi pemimpin di tempat kerja dan dalam masyarakat.

"Sekiranya ini pandangan mahasiswa, bagaimana kita ingin mengharapkan mereka yang bukan dalam kalangan mahasiswa?" katanya menambah bahawa mereka juga adalah harapan masa depan negara serta akan menjadi penggerak Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah itu membabitkan 402 mahasiswa yang bertujuan memahami persepsi serta kefahaman mahasiswa masa kini mengenai rasuah di negara ini.

Daripada jumlah itu, 33.1 peratus merupakan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia (47.5 peratus) dan Universiti Teknologi MARA (15.9 peratus) manakala baki 3.5 peratus dari universiti lain. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan