Images
  • london mosque1
    Para pegawai polis di tempat kejadian selepas sebuah van merempuh para pejalan kaki di luar masjid utara London. (Gambar: Thomas Van Hulle/Social Media via REUTERS)

Saksi: Penyerang masjid London memekik "Saya mahu bunuh semua orang Islam"

LONDON: Para jemaah yang meninggalkan sebuah masjid di London selepas tengah malam pada Isnin (19 Jun) sedang membantu seorang lelaki lanjut usia yang tidak sihat apabila sebuah van menyasarkan mereka dengan sengaja.

Ini menurut para saksi, yang menyaksikan van itu dipandu oleh penyerang yang menjerit: "Saya mahu bunuh semua orang Islam".

Van tersebut membelok ke arah para individu di luar Masjid Finsbury Park di utara London sejurus selepas mereka membantu lelaki berkenaan, yang pengsan.

"Dia membelok kiri ke lorong belakang dan merempuh para pejalan kaki," kata saksi Encik Abdiqadir Warra kepada AFP. "Sebilangan daripada mereka juga diheret beberapa meter."

Para penduduk tempatan kemudian melompat ke arah lelaki tersebut dan menahannya sementara menantikan polis untuk tiba di tempat kejadian.

Saksi Encik Khalid Amin memberitahu televisyen BBC bahawa van itu membelok ke kiri dengan sengaja dan "merempuh orang ramai".

Seorang lelaki terperangkap di bawah van tersebut dan orang ramai cuba mengangkat kenderaan berkenaan untuk membebaskannya.

Encik Amin berkata bahawa apabila orang ramai menahan pemandu tersebut, "dia sedang menjerit: 'Semua orang Islam, saya mahu bunuh semua orang Islam.' Dia benar-benar berkata demikian. Sepatah demi sepatah." Polis menyatakan bahawa seorang lelaki sudahpun ditangkap di tempat kejadian dan bahawa tiada lagi suspek yang dikenal pasti sejauh ini.


Beberapa jemaah lelaki bersolat selepas sebuah van merempuh para pejalan kaki berhampiran sebuah masjid di kejiranan Finsbury Park. (Gambar: REUTERS/Neil Hall)

"IA SATU SERANGAN PENGGANAS"

Seorang saksi, yang dikenali sebagai Athman, memberitahu AFP: "Orang ramai sedang memekik: 'Ia satu serangan pengganas, ia satu serangan, lelaki ini menyerang kami', dan saya harus lari balik dan cuba menyelamatkan mereka yang masih hidup dan memberikan air, membantu polis.

"Semasa dia berada dalam van polis, dia sedang melambai-lambai atas kejayaannya, dia sangat gembira.

"Dia memilih masa dan dia memilih tempat dan dia memilih sasarannya. Jadi, ia pada bulan Ramadan.

"Masanya, dia merancangnya, sasarannya, dia merancangnya, dan tempatnya - di luar sebuah masjid."

Encik Mohammed Kozbar, pengerusi Masjid Finsbury Park, menggesa pemerintah Perdana Menteri Theresa May untuk mengambil tindakan.

Insiden tersebut berlaku menyusuli dua serangan pengganas di London sejak tiga bulan lalu, yang melibatkan kenderaan-kenderaan yang merempuh orang ramai dan serangan bom nekad di sebuah konsert pop pada bulan Mei.

"Orang ramai kini mempunyai persoalan tentang tahap keselamatan di London selepas serangan-serangan pengganas ini, dan kami mahu memberi jaminan bahawa mereka selamat, dan itulah sebabnya kami mahu bekerjasama dengan pihak polis," kata Encik Kozbar.

"Orang ramai berasa tidak selamat kerana selepas serangan pengganas di London, Manchester, semakin bertambahnya Islamofobia dan jenayah kebencian," katanya. "Ini sangat membimbangkan bagi masyarakat Islam."

Beberapa jambak bunga sudahpun diletakkan di luar masjid sedang para penumpang melakukan perjalanan ke tempat kerja pada pagi Isnin.

- Agensi berita/CNA/im

Komen Anda?

Top