Images
  • Rusa
    Rusa yang 'bermain air' di kolam bangunan Parlimen Malaysia, 19 Apr. (Gambar: Rosnah Abdul Rashid Shirlin/Facebook)

Rusa "seronok" mandi kolam di Parlimen M'sia

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia menerima kunjungan ''pelawat'' luar biasa dan istimewa, terdiri daripada sekumpulan rusa yang secara tiba-tiba dilihat bermain-main di dalam kolam di pekarangan menara utama Parlimen negara itu, kira-kira pukul 11.45 pagi.

Menurut seorang pengawal keselamatan di Parlimen yang hanya mahu dikenali sebagai Azwari, kumpulan kira-kira tujuh ekor rusa daripada puluhan rusa yang dipelihara di Taman Rusa bersebelahan tempat letak kereta pelawat bangunan Parlimen itu, dipercayai terlepas dan memasuki pekarangan Parlimen ketika sesi persidangan Dewan Negara berlangsung semalam (19 Apr).

"Tiga ekor rusa berkenaan masuk dan bermain-main di dalam kolam manakala beberapa ekor lagi berlegar-legar di kawasan berpagar berhampiran pintu masuk utama.

"Kesemua rusa berkenaan dapat ditangkap dan dimasukkan semula ke dalam kandang, kira-kira sejam kemudian, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini," katanya kepada Bernama.

Insiden itu turut menarik perhatian Timbalan Menteri Kerja Raya Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang berada di Parlimen bagi menghadiri sesi persidangan Dewan Negara semalam.

Beliau turut memuat naik gambar seekor daripada rusa berkenaan dalam laman facebooknya, dengan status ''Hari ini kolam di Bangunan Parlimen dikejutkan dengan lawatan istimewa seekor rusa''.

Puluhan ekor rusa spesies Axis-axis yang dihadiahkan oleh mantan presiden Indonesia, Suharto kepada Parlimen Malaysia, ditempatkan di dalam kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa itu. 

- Bernama/nk

Komen Anda?

Top