Images
  • lava
    Gambar hiasan. (Gambar: MARIO LAPORTA / AFP)

Remaja 11 tahun dan ibu bapanya mati di kawasan gunung berapi Itali

MILAN: Tiga anggota keluarga yang mengunjungi sebuah medan gunung berapi berdekatan Naples meninggal dunia selepas anak lelakinya yang berusia 11 tahun memasuki kawasan terlarang dan ibu bapanya mengikutinya untuk menyelamatkannya.

Demikian menurut pihak polis Itali.

Menurut polis, budak lelaki itu dipercayai tergelincir setelah dia menceroboh sebuah kawasan yang dipagar di sekitar kawasan terlarang di Kawah Solfatara di Pozzuoli. Hanya seorang anak pasangan tersebut, budak lelaki berusia 7 tahun selamat. Pada ketika itu, dia berada berhampiran tetapi tetap berada di luar kawasan terlarang, lapor Arab News.

Ia tidak jelas sama ada budak lelaki berusia 11 tahun itu dan ibu bapanya meninggal dunia akibat gas atau letupan lahar panas. Hujan lebat sejak kebelakangan hari ini mungkin memainkan peranan dalam mewujudkan lebih banyak pembukaan di permukaan medan gunung berapi itu.

Menurut Arab News, kawah tersebut terletak di Phlegraean Fields, sebuah kumpulan luas kawah gunung berapi yang sering dikunjungi oleh kanak-kanak sekolah Itali dan para pelancong dari merata dunia. Medan-medan gunung berapi itu amat panas hanya beberapa inci di bawah permukaan.

Beberapa papan tanda dalam pelbagai bahasa boleh dilihat di sekeliling kawah itu. Ia adalah untuk memberi amaran bahaya tentang pembakaran daripada tanah yang bersuhu tinggi dan wap yang bersuhu sehingga 160 darjah selsius.

Para pengunjung diberitahu supaya tidak mendekati kawah tersebut, pembukaan di kerak bumi yang mengeluarkan wap dan gas, dan tidak memanjat lereng atau memasuki kawasan yang dipagar lapor Arab News lagi.

- Agensi berita/NA/na

Komen Anda?

Top