Images
  • theresa may (1)
    Gambar fail Perdana Menteri Britain Theresa May. (Gambar: REUTERS/Hannah McKay/File Photo)

Rancangan bunuh PM Britain Theresa May digagalkan

LONDON: Polis Britain berjaya menggagalkan rancangan untuk membunuh Perdana Menteri Theresa May.

Agensi berita Sky News melaporkan semalam (5 Dis), dengan memetik sumber bahawa polis percaya ada rancangan untuk melancarkan sejenis alat letupan di kediaman Perdana Menteri itu di Downing Street dan, dalam keadaan huru-hara yang menyusul, menyerang dan membunuh Cik May.

Sky News melaporkan rancangan itu diketahui selama beberapa minggu oleh pihak berkuasa Scotland Yard, MI5 dan Polis West Midlands.

Terdahulu, jurucakap Cik May berkata Britain telah menggagalkan sembilan rancangan dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Sementara itu, polis melaporkan dua lelaki yang ditahan minggu lalu, akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Westminster hari ini (6 Dis) dengan tuduhan pengganasan.

Menurut kenyataan polis, dua lelaki itu ditangkap oleh Pasukan Anti-Pengganasan pada 28 November.

Mereka dikenal pasti sebagai Naa'imur Zakariyah Rahman, 20 tahun, dari utara London, dan Mohammed Aqib Imran, 21 tahun, dari tenggara Birmingham. 

- Reuters/AQ/aq

Komen Anda?

Top