Images
  • indonesians
    Rakyat Indonesia yang kurang berkemampuan beratur untuk mendapatkan bantuan. (Gambar: JUNI KRISWANTO / AFP)

Rakyat miskin di Indonesia meningkat kepada 27.77 juta

JAKARTA: Jumlah rakyat miskin di Indonesia dilaporkan semakin meningkat berikutan semakin ramai rakyat negara itu tidak mampu untuk mendapat jumlah makanan sepatutnya yang diperlukan oleh tubuh badan manusia dalam sehari.

Laporan terkini Badan Pusat Statistik (BPS) republik itu melaporkan jumlah penduduk miskin di Indonesia meningkat hampir 10,000 orang dalam tempoh enam bulan iaitu sejak September 2016 hingga Mac 2017.

Ketua BPS Rusman Heriawan dipetik oleh media-media dalam talian sebagai berkata, jumlah penduduk yang miskin kini adalah 27.77 juta orang berbanding 27.76 juta orang bagi tempoh enam bulan tahun sebelumnya iaitu Mac-September 2016.

Katanya, antara penyumbang kepada peningkatan kemiskinan bagi tempoh itu termasuklah berlaku keterlambatan pengedaran bantuan beras atau dikenali sebagai program Beras Sejahtera kepada rakyat miskin pada awal tahun ini.

Tahap kemiskinan di Indonesia diukur berdasarkan kemampuan memiliki keperluan makanan harian dan keperluan harian bukan makanan.

Keperluan hidup minimum ialah untuk mengambil makanan sebanyak 2,100 kalori seorang sehari dan keperluan minimum bukan makanan adalah seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Indonesia adalah antara negara yang mempunyai penduduk terpadat di dunia dengan jumlah penduduknya melebihi 260 juta orang dan berdasarkan bancian terbaharu itu, lebih 10 peratus jumlah penduduk negara itu itu diklasifikasikan sebagai miskin.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut daerah yang paling ramai mempunyai penduduk miskin di Indonesia tetapi menurut laporan media, Papua adalah wilayah yang paling miskin di negara itu walaupun wilayah itu mengeluarkan emas sebagai hasil buminya.

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top