Images
  • sultan kedah
    Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. (Gambar: Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah)

Rakyat Kedah hiba terima berita peninggalan Sultan Kedah

ALOR SETAR: Kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini mengejutkan rakyat Kedah.

Seorang penjawat awam, Mohd Sabri Saad, 37 tahun, berkata berita kemangkatan Sultan Kedah hanya diketahui melalui media sosial sekitar 3.30 petang tadi.

“Pada mulanya saya tidak percaya berita yang tular di media sosial kerana tiada sumber rasmi, tetapi selepas melihat maklumat yang tersebar dari sumber yang dipercayai dan juga sidang media oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengenai kemangkatan baginda, barulah saya percaya dan terima berita itu dalam keadaan hiba sebagai seorang anak jati Kedah.

“Kemangkatan baginda disifatkan satu kehilangan besar buat rakyat Kedah kerana baginda seorang raja berbudi pekerti dan lemah lembut bila berada bersama rakyat serta menitikberatkan kebajikan rakyat semua kaum,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang peniaga, Mohd Hafiz Mokhtar, 37 tahun, berkata sebagai rakyat jelata, kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim tiada galang ganti.
 
 “Sepanjang Almarhum bergelar raja  memerintah yang paling lama, baginda selalu ke majlis-majlis bertemu dengan rakyat dan melihat kebajikan rakyat dari semua sudut dan sudah tentu kemangkatan baginda sangat menyedihkan terutama mereka yang sangat rapat dengan baginda,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hafiz dan rakan-rakan bercadang untuk menziarahi jenazah baginda di Istana Anak Bukit, di sini esok bagi memberi penghormatan terakhir sebelum baginda dimakamkan di Makam Diraja Langgar yang dijadualkan pada sebelah petang.

Almarhum baginda pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali bagi tempoh 21 Sep 1970 hingga 20 Sep 1975, dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Perwatakan baginda yang baik,  pertuturan lembut dan merendah diri, menjadikan baginda kesayangan rakyat Malaysia.

Kerajaan negeri Kedah hari ini mengumumkan Tuanku Abdul Halim, 89 tahun,  mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi.

- BERNAMA/ur

Komen Anda?

Top