Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama cabar undang-undang pilihan raya ke mahkamah perlembagaan

Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama memfailkan bantahan terhadap undang-undang berkaitan kuota kelayakan pencalonan bagi jawatan presiden dan naib presiden Indonesia di Mahkamah Perlembagaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama cabar undang-undang pilihan raya ke mahkamah perlembagaan

Penyanyi terkenal Rhoma Irama. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Diterbitkan : 11 Aug 2017 11:46AM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 11:53AM

JAKARTA: Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama memfailkan bantahan terhadap undang-undang berkaitan kuota kelayakan pencalonan bagi jawatan presiden dan naib presiden Indonesia di Mahkamah Perlembagaan.

Media-media tempatan semalam (10 Ogos) memetik Ketua Umum Partai Islam Damai Aman (IDAMAN) itu mencabar Pasal 222 Undang-undang pilihan raya umum (Pemilu) yang mengenakan syarat ambang batas pencalonan presiden dan wakil presiden dan Pasal 173 ayat (1) dan (3) mengenai kelayakan parti politik menyertai Pemilu oleh Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU).

Beliau berkata, partinya sudahpun membuat keputusan mencalonkan dirinya sebagai presiden republik itu pada pilihan raya akan datang dan undang-undang berkenaan sudah menafikan hak rakyat untuk secara bebas menawarkan diri bagi merebut jawatan pemimpin negara.

Kerajaan baru-baru ini menguatkuasakan syarat kuota minimum 20 peratus kerusi atau 25 peratus suara sah nasional bagi mana-mana parti politik yang ingin mengajukan calon presiden pada pilihan raya umum 2019.

Undang-undang itu diluluskan Parlimen walaupun mendapat bantahan beberapa parti politik dan Presiden Joko Widodo dalam kenyataannya berkata mana-mana pihak boleh membantah undang-undang itu dengan mencabarnya di mahkamah.

Rhoma berkata undang-undang itu dinilai tidak relevan kerana Pemilu 2019 dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan anggota Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Daerah.

"Pembatasan ini menutup hak konstitusi rakyat untuk memilih presiden yang mereka inginkan. Kalau mengajukan semakan kehakiman harus memenuhi syarat dari segi undang-undang. Dalam hal ini Partai Idaman memenuhi syarat dari segi undang-undang kerana mencalonkan ketua umumnya," kata beliau.

Katanya Pasal 173 Undang-undang Pemilu itu bersifat diskriminatif kerana parti politik yang baru diwajibkan ikut proses penentusahan untuk menyertai Pemilu 2019 manakala parti yang telah menyertai Pemilu 2014 dikecualikan daripada syarat berkenaan.

Rhoma menubuhkan Parti Idaman pada tahun 2015 dan hanya mendapat kelulusan pendafaran pada Disember tahun lepas dan belum menyertai sebarang pilihan raya lagi.

Katanya, ini kerana ia juga bercanggah dengan Pasal 26E Undang-undang Dasar Negara 1945 yang menyebut Pemilu dilaksanakan secara langsung, umum, jujur dan adil.

Rhoma sebelum ini terkenal dengan kelebihannya menyampaikan mesej politik dan muzik dangdut dan membantu Parti Persatuan Pembangunan dalam kempen pilihan raya.

Beliau pernah dikenakan larangan untuk menganjurkan konsert dan tidak dibenarkan muncul dalam televisyen pada zaman pemerintahan Orde Baru kerana dikatakan menolak tawaran untuk menyertai parti Golkar pada tahun 1977.

"Judi" adalah antara lagu popular Rhoma pada tahun 1980-an dan turut mendapat sambutan di Malaysia.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan