Images
  • duterte (1)
    Presiden Filipina Rodrigo Duterte. (Gambar: AFP/Manman Dejeto)

Presiden Filipina: Turki dan Mongolia boleh sertai ASEAN

DAVAO: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata pada hari Selasa (16 Mei), bahawa beliau akan mendesak bagi kemasukan Turki dan Mongolia sebagai anggota baru ASEAN, sambil menolak kebimbangan tentang kedudukan geografi negara-negara tersebut.

Beliau berkata pemimpin Turki dan Mongolia telah memberitahu beliau mengenai hasrat mereka untuk menyertai ASEAN semasa di China pada hujung minggu untuk menghadiri sidang puncak perdagangan global.

Filipina merupakan pengerusi pertubuhan 10 negara ASEAN tahun ini.

Presiden Duterte mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mongolia Jargaltulga Erdenebat, di luar acara sidang kemuncak itu.

"Mereka mahu menyertai ASEAN dan memandangkan saya sedang memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun ini, mereka mahu saya menaja kemasukan mereka dan saya berkata, 'Ya, mengapa tidak," kata Duterte sidang pemberita di Filipina.

10 negara anggota kumpulan ASEAN adalah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kedudukan geografi merupakan ukur tara utama bagi menganggotai ASEAN , disamping penerimaan dari negara-negara anggota yang lain.

Mengulas kenyataan Duterte itu, Sekretariat ASEAN berkata Turki dan Mongolia "tidak pernah memohon" untuk menjadi anggota pertubuhan itu.

"Isu ini tidak pernah ditimbulkan untuk perbincangan dalam ASEAN," menurut Lee Yoong Yoong, pengarah hal ehwal masyarakat Sekretariat ASEAN yang berpangkalan di Jakarta, memberitahu AFP melalui e-mel.

Timor Leste sudah bertahun-tahun ingin menjadi anggota ASEAN namun sehingga kini hanya memegang status sebagai pemerhati.

- AFP/ur

Komen Anda?

Top
>