Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Duterte rasmikan Sidang Puncak ASEAN ke-31

Sidang Puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-31 dan Sidang Puncak berkaitan, bermula dengan rasmi hari ini (13 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Nov 2017 12:41PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 10:57PM

MANILA: Sidang Puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-31 dan Sidang Puncak berkaitan, bermula dengan rasmi hari ini (13 Nov).

Presiden Rodrigo Duterte, yang mempengerusikan Sidang Puncak ASEAN tahun ini, merasmikan pembukaan Sidang Puncak itu yang berlangsung di Pusat Budaya Filipina (CCP) di Pasay City.

Sidang Puncak tahun ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 ASEAN.

Sepuluh pemimpin dari rantau ini dan rakan dialog mereka daripada beberapa kuasa dunia, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka menumpukan perbincangan mereka kepada isu politik, keselamatan, ekonomi dan sosio budaya.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menghadiri majlis perasmian itu, bersama-sama pemimpin ASEAN yang lain, antaranya Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Indonesia Joko Widodo.

Turut menghadiri majlis perasmian gilang-gemilang itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Perhimpunan Manila ini akan menyaksikan berlangsungnya sejumlah 11 Sidang Puncak dan dijangka menggunakan 56 dokumen, termasuk Konsensus ASEAN yang tidak mengikat dari segi undang-undang berkaitan Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Asing.

Para pemimpin juga akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama seperti Laut China Selatan, krisis pelarian Rohingya, ketegangan di Semenanjung Korea, memerangi pengganasan dan keganasan serta ekonomi digital.

Antara acara utama adalah Sidang Puncak Pleno ASEAN ke-31, Sidang Puncak Peringatan ASEAN-Amerika Syarikat, Sidang Puncak ASEAN-China ke-20, Sidang Puncak ASEAN-Korea Selatan ke-19, Sidang Puncak ASEAN-Jepun ke-10, dan Sidang Puncak ASEAN-PBB ke-9.

Para pemimpin ASEAN akan turut bertemu peneraju industri di rantau ini yang mewakili Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

ASEAN ditubuhkan di Bangkok pada 8 Ogos 1967 dengan lima anggota pengasas - Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan