Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pope Francis ke Mesir bawa mesej keamanan; bakal bertemu Imam Besar Al-Azhar

Pemimpin tertinggi agama Roman Katolik, Pope Francis, mengunjungi Mesir untuk memperbaiki jalinan hubungan dengan masyarakat Muslim di tengah-tengah serangan-serangan pengganas yang dilancarkan ke atas masyarakat Kristian di Timur Tengah baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pope Francis ke Mesir bawa mesej keamanan; bakal bertemu Imam Besar Al-Azhar

Pope Francis. (Gambar: REUTERS/Alessandro Bianchi)

Diterbitkan : 28 Apr 2017 10:59PM Dikemas Kini : 29 Apr 2017 12:37AM

VATICAN CITY: Pemimpin tertinggi agama Roman Katolik, Pope Francis, mengunjungi Mesir untuk memperbaiki jalinan hubungan dengan masyarakat Muslim di tengah-tengah serangan-serangan pengganas yang dilancarkan ke atas masyarakat Kristian di Timur Tengah baru-baru ini.

Pope Francis yang berusia 80 tahun itu dijadual tiba di Kaherah sekitar pukul 2.00 petang waktu tempatan (28 Apr), dan sepanjang 27 jam beliau berada di bumi Mesir itu akan digunakan untuk bertemu Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb, serta mengesahkan peningkatan dalam jalinan hubungan antara masyarakat Katolik dengan Sunni.

Kawalan keselamatan juga diperketat dengan Mesir diletakkan di bawah keadaan darurat menyusuli dua insiden pengeboman ke atas gereja Koptik awal bulan ini, mengorbankan 45 orang.

Semua gereja di negara itu juga dilindungi dan dikawal ketat kerana dikhuatiri berisiko diserang lagi sempena ketibaan Pope Francis di Mesir.

ISIS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan baru-baru ini, dan ia seringkali menyuarakan niat untuk melancarkan serangan ke atas Vatican serta masyarakat Kritian Koptik di Mesir.

Meskipun keadaan berbahaya, Pope Francis dijangka meneruskan urusannya dengan menaiki kenderaan biasa.

"Doakan perjalanan saya esok sebagai wakil keamanan ke Mesir," kata Pope Francis di laman Twitter beliau sebelum berlepas.

Beliau dijangka bertemu secara privet dengan Sheikh Ahmed al-Tayeb, seorang profesor falsafah Islam yang pernah mengunjungi Vatican pada tahun lalu dan dianggap sebagai pemimpin agama tertinggi bagi masyarakat Islam Sunni.

Pope Francis juga dijangka berucap di persidangan antarabangsa bagi keamanan yang dianjurkan oleh Al-Azhar.

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan