Images
  • msia kempen
    (Gambar: RoketKini.com)

Polis M'sia larang perhimpunan 'Sayang Malaysia, hapuskan kleptokrasi' di Petaling Jaya

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan perhimpunan ‘Sayang Malaysia, hapuskan kleptokrasi’ yang dirancang diadakan Sabtu ini (14 Okt) di Padang Timur, Petaling Jaya, selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM juga menerima empat laporan daripada penduduk setempat yang membantah perhimpunan berkenaan di kawasan itu.

Selain itu, PDRM tidak akan memperakukan permohonan atas sebab-sebab berikut:

“Pertama, isu kesesakan yang menyukarkan masyarakat (kawasan itu).

"Kedua, saya dimaklumkan sekitar 20,000 orang akan hadir dan kapasiti Padang Timur hanya boleh menampung tidak lebih 10,000 orang."

"Bayangkanlah tempat yang sempit itu akan dilimpahi orang ramai dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk kerana berdekatan dengan lebuh raya,” tambahnya sewaktu sidang akhbar sempena ‘Breakfast Talk Integrity’ di sebuah Pusat Latihan Polis.

SARAN TUKAR LOKASI

Tan Sri Mohamad Fuzi mencadangkan supaya lokasi perhimpunan itu ditukar ke Stadium Kelana Jaya yang terletak 10km dari lokasi asal kerana kawasan itu lebih tersusun dan ia memudahkan PDRM membuat kawalan.  

“Terpulang kepada mereka sekiranya mereka terima cadangan kita atau tidak. Kita ada undang-undang dan Akta Perhimpunan Aman.

Perhimpunan-perhimpunan yang ada sekarang macam-macam boleh berlaku dan jika ada perkara yang buruk maka kami yang akan dipersalahkan,” kata Encik Fuzi.

TINDAKAN ZAMIHAN KRITIK SULTAN JOHOR AKAN DISIASAT

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin, berhubung ceramahnya yang mengkritik Sultan Johor di Shah Alam baru-baru ini, Mohamad Fuzi berkata Zamihan akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Setakat hari ini, satu laporan polis diterima berhubung ceramah berkenaan manakala tangkapan belum dilakukan dan saya tidak akan mengulas lebih lanjut mengenainya," katanya.

Media melaporkan sebelum ini bahawa Zamihan mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang membidas tindakan sebuah kedai dobi di Muar tidak menerima pelanggan bukan Islam. 

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top