Images
  • gun
    (Gambar hiasan: AFP/Philippe Huguen)

Polis lepaskan 4 tembakan selepas diserang 30 lelaki China

KUALA LUMPUR: Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri apabila diserang sekumpulan lelaki warga China ketika membuat pemeriksaan di Jalan Abraham Off Jalan Khoo Teik Ee malam Sabtu (11 Nov).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, tujuh anggota pasukan rondaan cegah jenayah membuat pemeriksaan setelah menerima maklumat mengenai pekerja kontrak bermain judi di halaman rumah sebelum diserang kira-kira 30 lelaki.

"Keadaan tidak terkawal dan anggota dari Balai Tun H.S. Lee itu telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertahankan diri namun tiada kecederaan dilaporkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata empat pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk bantuan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

Encik Shaharudin berkata kumpulan lelaki China itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk didokumentasi setelah mendapati keadaan terkawal apabila beliau tiba di tempat kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati beberapa buah rumah di kawasan berkenaan dijadikan sebagai rumah kongsi untuk pekerja warga China.

"Terdapat 200 pekerja warga China yang dipercayai tinggal di sekitar kawasan tersebut," katanya.

- BERNAMA/IM/im

Komen Anda?

Top