Polis, JAWI buru ‘Raja Bomoh’ kerana rosakkan imej Islam
Lelaki dikenali sebagai ‘Raja Bomoh’ kini sedang diburu polis Malaysia serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
KUALA LUMPUR: Lelaki dikenali sebagai ‘Raja Bomoh’ kini sedang diburu polis Malaysia serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam tweetnya semalam (18 Mac) menulis bahawa Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin, dikehendaki pihak berkuasa kerana merosakkan imej Islam.
“JAWI dan PDRM sedang berusaha menjejaki Bomoh (Ibrahim) sejak Isnin lagi untuk menangkap dan mendakwa beliau yang merosakkan imej Islam,” tulis beliau di laman Twitter.
Raja Bomoh menjalankan ritual untuk 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing. (Petikan dari YouTube)
Baru-baru ini Raja Bomoh itu dilaporkan ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara.
Dr Asyraf juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mentularkan video yang menunjukkan upacara perbomohan ‘Raja Bomoh’ cuba ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing.
Ini menyusuli ketegangan kian meningkat antara Malaysia dengan negara itu, setelah abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bulan lalu.
Dr Asyraf berkata ini kerana perbuatan mentularkan ritual oleh lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak, itu secara tidak langsung mempromosikan individu itu.
Timbalan mufti Perak, Zamri Hashim pada Rabu lalu berkata kerajaan negeri Perak sudah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Katanya, jawatankuasa fatwa negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 memutuskan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim berlawanan dengan hukum syarak, lapor Malaysiakini.
Raja Bomoh sebelum ini menarik perhatian ramai setelah menjalankan ritual perbomohan dengan menggunakan kelapa untuk membantu mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang, MH370.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.