Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Najib Razak: Pihak pembangkang hanya tabur janji

Pembangkang hanya tahu menabur janji tanpa perlu membuktikannya melalui fakta untuk menarik sokongan politik, kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Najib Razak: Pihak pembangkang hanya tabur janji

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Apr 2017 09:55AM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 09:56AM

KUALA LUMPUR: Pembangkang hanya tahu menabur janji tanpa perlu membuktikannya melalui fakta untuk menarik sokongan politik, kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Mengulas mengenai penentangan berterusan pembangkang terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), PM Najib berkata pembangkang mempolitikkan isu itu tanpa "berpijak di bumi yang nyata".

"Jika kita tolak GST bermakna kita tolak lebih RM50 bilion (S$16 bilion) setahun dari belanjawan (RM260 bilion (S$83 bilion)) sekaligus kerajaan memang tidak boleh berfungsi dan berkhidmat kepada rakyat.

"RM260 bilion (S$83 bilion) tolak RM50 bilion (S$16 bilion) tinggal RM210 bilion (S$67 bilion) saja. Hendak bayar elaun penjawat awam pun tidak mencukupi. Perkiraan pembangkang bersifat politik. Bukan kenyataan dan relevan," kata beliau.

PM Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam semalam (26 Apr).

Mengulas lanjut tindakan pembangkang mempolitikkan isu GST demi kepentingan politik mereka, PM Najib berkata rakyat perlu berwaspada apabila dijanjikan dengan pelbagai gula-gula dari pembangkang untuk meraih sokongan politik.

Jelasnya, kerajaan perlu berdiri di atas sumber dan hasil yang kukuh seperti GST untuk membangunkan negara seperti dalam bidang keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

"Mereka boleh janji sesuatu yang mana mereka tidak perlu buktikan melalui fakta sebenar atau tidak berpijak di bumi yang nyata. Mereka hanya cakap apa mereka suka asalkan apa mereka cakap itu orang sedap dengar. Apa yang mereka cakap hanya untuk mengejar sokongan semata-mata," katanya.

Turut hadir Naib Presiden parti yang menjalankan tugas timbalan presiden Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua sayap.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan