Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Petani kampung Kalimantan tidak lagi "tebang dan bakar" untuk bersihkan tanah ladang

Sejak ratusan tahun lalu, para petani di Indonesia membersihkan tanah ladang mereka melalui kaedah pembakaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2017 10:06PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 10:12PM

KALIMANTAN: Sejak ratusan tahun lalu, para petani di Indonesia membersihkan tanah ladang mereka melalui kaedah pembakaran.

Jika tidak terkawal, ini boleh menyebabkan kebakaran meluas, sehingga berlaku jerebu yang meliputi juga negara-negara jiran.

Namun para petani yang dulunya tidak mahu menerima kaedah lain membersihkan tanah ladang, kini lebih terbuka kepada perubahan. Kali terakhir para petani di Kampung Pantik, Kalimantan Tengah menggunakan kaedah "tebang dan bakar" untuk membersihkan tanah ladang mereka adalah dua tahun lalu.

Menyusuli larangan terhadap kaedah itu, para petani kini beralih kepada cara baru untuk membersihkan ladang mereka. Salah satu cara ialah menggunakan bahan mengurai seperti bakteria untuk melembutkan tanah sebelum proses penanaman selanjutnya.

Wagiman, seorang petani di kampung itu berkata: "Dengan tidak membakar, sangat membantu pembuatan baja organik dalam tanah, dan ini baik, tidak menganggu, tiada asap jerebu. Jelas dengan tidak membakar ini membantu juga."

Usaha mengubah cara pembersihan tanah ladang bermula tahun lalu apabila syarikat Sinar Pangan Indonesia melawat Kampung Pantik untuk memperkenalkan model perniagaan yang saling menguntungkan.

Syarikat tersebut membantu pekebun membersihkan ladang mereka tanpa pembakaran. Mereka juga diajar cara menghasilkan baja daripada bahan sisa. Dan hasilnya, kawasan yang dulunya hutan, kini diubah menjadi sawah padi yang memberi sumber pendapatan.

Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan sebuah universiti Kalimantan untuk bekerjasama dalam beberapa projek masyarakat. Salah satunya adalah projek hidroponik iaitu cara penanaman tanpa tanah.

Inisiatif itu dan yang lainnya diharap akan meningkatkan pengurusan tanah gambut dengan baik, pada masa yang sama menambah sumber mata pencarian bagi penduduk.  

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan