Images
  • Airbus
    Petikan gambar dari YouTube.

Pesawat terhuyung hayang semasa cuba mendarat akibat angin kencang

JERMAN: Bayangkan pesawat yang anda naiki sedang mendarat dan baru sahaja hendak menghela nafas lega kerana perjalanan anda lancar, tiba-tiba pesawat terhuyung-hayang tak tentu arah.

Itulah yang berlaku apabila sebuah pesawat Airbus A380 cuba mendarat semasa angin ribut di Jerman.

Pesawat Emirates dengan 500 kerusi itu, yang merupakan pesawat komersil paling besar di dunia, dirakam sedang berdepan kesukaran semasa hendak mendarat di Lapangan Terbang Düsseldorf pada Khamis lalu (5 Okt).

Masalah bermula ketika pesawat cuba mendarat di landasan kapal terbang, lapor laman Daily Mail.

Insiden itu dirakam oleh seorang pengesan pesawat, Martin Bogdan, dan dimuat naik ke laman YouTube.


Sedang juruterbang mencuba mendarat dengan betul di landasan, angin yang bertiup kencang menyebabkan ia terhuyung-hayang, lapor Daily Mail. Mujur, juruterbang berjaya mengawal pesawat tersebut selepas mengalami kesukaran.

Apabila pesawat mendarat dalam keadaan angin lintang, para juruterbang lazimnya menghampiri landasan kapal terbang dengan memiringkan sedikit pesawat untuk mengurangkan kesan rintangan angin.

Bahagian utara Jerman dilanda angin ribut sejak beberapa hari lalu sedang taufan Xavier membadai negara itu, mengorbankan tujuh orang.

Kerosakan paling teruk kebanyakannya berlaku di daerah timur laut, dengan kereta api antara Berlin, Hanover, Hamburg dengan Keil dibatalkan buat sementara pada pagi Jumaat (6 Okt), menurut laporan-laporan The Local.

Meskipun Düsseldorf tidak terjejas teruk akibat taufan tersebut, kelajuan angin di kawasan itu melebihi 35 kilometer sejam pada hari Khamis, di mana pendaratan pesawat tersebut dirakam, menurut laporan timeanddate.com.

Encik Bogdan menulis: "Saya sudah merakam beberapa pendaratan pada waktu angin lintang di beberapa lapangan terbang di Eropah sejak beberapa tahun lalu, namun angin lintang yang berjaya diatasi pesawat Airbus A380 ini begitu dahsyat dan luar biasa.

"Pada awalnya ia kelihatan seperti pendaratan yang biasa dilihat semasa angin lintang. Namun sebaik sahaja pesawat mendarat kelihatan juruterbang mencuba sedaya upaya untuk bergerak lurus di landasan dan ia menakjubkan.

"Saya tidak pernah menyaksikan keadaan seumpama itu selepas pesawat mendarat. Anda boleh nampak yang juruterbang mencuba sedaya upaya untuk mengemudi pesawat supaya sejajar dengan landasan. Mujur ia berhasil.

"Video ini menunjukkan kemahiran hebat para juruterbang. Meskipun berdepan dengan angin kencang yang tidak dijangka selepas mendarat mereka masih mampu menggerakkannya supaya sejajar dengan landasan. Menakjubkan!"

Seorang jurucakap Emirate berkata: "Pesawat Emirate EK 55 mendarat dengan selamat di Düsseldorf pada 5 Oktober 2017 dalam keadaan angin lintang yang kencang. Keselamatan para penumpang dan anak kapal tidak dikompromi." 

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top