Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permaisuri Johor melawat pelajar tahfiz yang dipercayai dipukul pembantu warden

Raja Zarith Sofiah tiba di hospital tersebut pada 12.00 tengah hari dan kemudian meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat pelajar itu, Mohamad Thaqif Amin Ghadaffi, 11 tahun, serta bertemu ibu bapanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Permaisuri Johor melawat pelajar tahfiz yang dipercayai dipukul pembantu warden

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah (kedua dari kanan) sedang menenangkan Cik Felda Wani (ibu kepada Mohamad Thaqif Amin). (Gambar: Facebook/DYMM Raja Zarith Sofiah - Permaisuri Johor)

Diterbitkan : 26 Apr 2017 11:09AM Dikemas Kini : 26 Apr 2017 11:10AM

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris pada Selasa (25 Apr) melawat pelajar tahfiz yang dipercayai dipukul pembantu warden di Wad Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Raja Zarith Sofiah tiba di hospital tersebut pada 12.00 tengah hari dan kemudian meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat pelajar itu, Mohamad Thaqif Amin Ghadaffi, 11 tahun, serta bertemu ibu bapanya.

Turut mengiringi Raja Zarith Sofiah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Ayub Rahmat dan Pengarah HSI Dr Azizah Riduan.

Sementara itu, Encik Ayub yang ditemui wartawan berkata Raja Zarith Sofiah meminta supaya pelajar madrasah tahfiz yang dipercayai turut dipukul bersama Mohamad Thaqif Amin agar menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Raja Zarith Sofiah ada memberitahu kepada saya, pertamanya kita akan kenal pasti pelajar lain dalam kumpulan yang menerima hukuman yang sama (dipercayai dipukul) itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebab kita kena bertindak awal.

"Kita tidak mahu ada kes lain, barulah tindakan diambil dan saya juga sudah bincang dengan Jabatan Kesihatan supaya meilhat dan memantau keadaan madrasah tahfiz itu termasuk aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya," katanya.

Encik Ayub berkata dalam masa yang sama, pihaknya turut meminta pihak pengurusan madrasah tahfiz itu supaya mengambil inisiatif sendiri membawa para pelajar yang terlibat, menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran.

Menurutnya, Raja Zarith Sofiah turut berkata supaya beliau berbincang dengan Exco Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim bagi mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu melakukan solat hajat selepas solat Jumaat, minggu ini, bagi mendoakan kesihatan dan kesembuhan Mohamad Thaqif Amin.

Mengenai punca sebenar sehingga menyebabkan kedua-dua kaki pelajar itu terpaksa dipotong, beliau berkata laporan ujian darah dan kesihatan Mohamad Thaqif Amin akan diperoleh sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu lagi.

Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI, Rabu lalu (19 Apr), menjadi viral di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lalu dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.

Mohamad Thaqif Amin kemudian terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuhnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kini direman sehingga esok (27 Apr) bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan