Images
  • france facilitator
    Menteri Ehwal Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, di Jeddah. (Gambar: Stringer/AFP)

Perancis bersedia jadi 'orang tengah' dalam rundingan krisis Teluk

JEDDAH, Arab Saudi: Menteri Ehwal Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, berkata pada Sabtu (15 Julai) bahawa Paris mahu membantu dalam usaha yang diterajui oleh Kuwait bagi menghuraikan krisis antara Qatar dengan empat negara Arab yang lain, menyusuli rundingan-rundingan yang diadakan di Doha dan Jeddah.

Encik Le Drian melakukan persinggahan di Qatar dalam lawatannya ke negara-negara Teluk dengan tujuan untuk membantu menghuraikan krisis antara Qatar dengan Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.

Beliau kemudian melakukan lawatan ke Jeddah bagi mengadakan rundingan dengan para pegawai Arab Saudi.

"Perancis seharusnya memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha damai" yang diterajui oleh Kuwait, kata Encik Le Drian kepada para wartawan menyusuli rundingan-rundingan dengan rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani. Encik Le Drian turut menekankan demikian semasa beliau berada di Jeddah.

"Perancis amat prihatin terhadap hubungan antara Qatar dengan kebanyakan negara jirannya yang semakin bertambah buruk," kata Encik Le Drian semasa di Doha, di mana beliau juga mengakadan pertemuan dengan Amir negara itu, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.

"Perancis sedang mengadakan perbincangan dengan negara-negara tersebut bagi membantu mencari huraian," kata Encik Le Drian sambil meggesa negara-negara Arab supaya "bertenang dan mengadakan satu dialog".

Menteri Luar Qatar mengalu-alukan sokongan Perancis terhadap usaha damai itu, yang bermatlamat mencari huraian "berdasarkan satu dialog yang bersifat membina serta saling hormat-menghormati kedauluatan negara itu dan undang-undang antarabangsa."

Riyadh dan sekutunya mengenakan sekatan terhadap Doha pada 5 Jun. Ini termasuk menutup satu-satunya sempadan antara Qatar dengan negara itu, serta menyekat aksesnya kepada ruang udara negara-negara tersebut dan mengarahkan rakyat masing-masing supaya meninggalkan Qatar.

Negara-negara Arab itu sebelum ini menuduh Doha menyokong pengganasan dan mempunyai hubungan rapat dengan Iran.  

- CNA/ai

Komen Anda?

Top