Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penunjuk perasaan merusuh setelah suspek kes rogol dibunuh dalam penjara

Seorang lelaki yang dituduh merogol seorang remaja perempuan secara beramai-ramai dan membunuhnya di utara India dibunuh semasa dalam tahanan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan merusuh setelah suspek kes rogol dibunuh dalam penjara

Perusuh di Himachal Pradesh, 19 Jul. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Jul 2017 06:14PM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 06:20PM

SHIMLA, India: Seorang lelaki yang dituduh merogol seorang remaja perempuan secara beramai-ramai dan membunuhnya di utara India dibunuh semasa dalam tahanan polis.

Demikian menurut seorang pegawai hari ini (20 Jul), mencetuskan rusuhan di daerah Himalaya yang biasanya tenang.

Ratusan penunjuk perasaan begitu marah terhadap cara polis menangani kes tersebut dan melaung-laungkan "kami mahukan keadilan" di resort Shimla yang popular dengan pelancong. Beberapa perniagaan terus ditutup di beberapa bahagian Himachal Pradesh.

Sejak remaja perempuan itu dijumpai di sebuah hutan dalam keadaan bogel dan badannya sudah dikerat-kerat, ramai yang menunjuk perasaan di rantau itu dan ada yang menuduh polis gagal menjalankan siasatan dengan sewajarnya.

Keadaan tegang terus memuncak setelah seorang suspek yang ditahan atas jenayah kejam itu dibunuh di dalam penjara oleh seorang lagi banduan semasa mereka bergelut.

Suraj Singh, seorang rakyat Nepal, terhentak kepala pada tembok dan "dia dikejarkan ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia," kata inspektor polis Z.H Zaidi.

Berita kematiannya mencetuskan kemarahan, dengan para perusuh membakar balai dan kenderaan polis.

Kekejaman jenayah itu mengejutkan para penduduk di Himachal Pradesh, sebuah negeri dengan jumlah kes keganasan seksual yang rendah. Kes itu juga mencetuskan gesaan agar siasatan dipercepat.

Hasil bedah siasat mengesahkan remaja berkenaan dirogol beramai-ramai dan dicekik. Remaja itu mengalami beberapa kecederaan akibat serangan tersebut, termasuk tulang kaki yang patah.

Sebanyak enam lelaki diberkas namun mereka yang menggesa agar keadilan segera ditegakkan menuduh polis tidak cekap menjalankan siasatan kes tersebut, sambil berkata suspek utama masih berleluasa.

"Suspek utama masih bebas. Bagaimana seseorang boleh mati dalam tahanan polis?" salah seorang penunjuk perasaan di Shimla memberitahu stesen penyiar India NDTV.

Rekod kes rogol di India amat mengerikan. Hampir 40,000 kes rogol dilaporkan setiap tahun namun jumlah sebenar dikatakan lebih tinggi, dengan mangsanya menyangsikan cara aduan ditangani.

Hampir 2,200 kes rogol dicatatkan pada tahun 2015 di ibu kota India, New Delhi - iaitu purata enam setiap hari.

Himachal Pradesh pula mencatat 244 kes rogol pada tahun yang sama, iaitu antara jumlah paling rendah di India.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan