Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penjaga gol yang bunuh temanita sertai kelab baru sebaik bebas dari penjara, cetus kemarahan

Seorang penjaga gol terkenal di Brazil yang baru dibebaskan dari penjara setelah membunuh teman wanitanya dan mengarahkan agar mayatnya menjadi makanan anjing, sudah kembali menyertai sebuah kelab bola sepak di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaga gol yang bunuh temanita sertai kelab baru sebaik bebas dari penjara, cetus kemarahan

Penjaga gol Brazil, Bruno Fernandes de Souza pada 2010. (Gambar fail: AP/Felipe Dana)

Diterbitkan : 21 Mar 2017 12:39AM Dikemas Kini : 21 Mar 2017 12:53AM

BRAZIL: Seorang penjaga gol terkenal di Brazil yang baru dibebaskan dari penjara setelah membunuh teman wanitanya dan mengarahkan agar mayatnya menjadi makanan anjing, sudah kembali menyertai sebuah kelab bola sepak di negara itu.

Bruno Fernandes de Souza, 32 tahun, hanya dipenjara selama tujuh tahun meskipun dijatuhi hukuman penjara 22 tahun, dan dibebaskan pada Februari lalu.

Namun, sebaik sahaja dibebaskan dari penjara, Fernandes berjaya diambil sebagai penjaga gawang kelab Boa Esporte di wilayah Mina Gerais, lapor The Telegraph.

Langkah kelab bola sepak tersebut mencetuskan kemarahan di kalangan ramai rakyat Brazil.

Menurut The Telegraph, semua itu bermula pada 2009 apabila Fernandes, yang ketika itu sudahpun berkahwin, menemui mangsanya itu, Eliza Samudio di salah sebuah pesta seks yang kerap beliau dan pemain bola sepak lain kunjungi.

Fernandes lalu menjalin hubungan sulit dengan Samudio, 25 tahun, hingga wanita itu menjadi hamil. Beliau memaksa teman wanitanya itu menggugurkan bayinya itu, namun Samudio enggan melakukannya dan melahirkan bayi lelaki mereka yang dinamakan Bruninho (Bruno cilik) pada 2010.

DIPUJUK MASUK KERETA, KONONNYA MAHU DIBERIKAN RUMAH

Bagaimanapun, Fernandes enggan mengaku kanak-kanak itu adalah anaknya, hingga Samudio membawa kes itu ke mahkamah untuk mendapat nafkah bagi kos sara hidup anak mereka.

Pada bulan Jun 2010, Samudio dan anak lelakinya dipujuk masuk ke dalam kereta dengan janji bahawa kononnya Fernandes akan menghadiahkannya sebuah rumah.

Namun, menurut The Telegraph, pasangan ibu dan anak itu sebaliknya dibawa ke apartmen Fernandes di mana wanita itu diikat pada kerusi dan diseksa selama enam hari di hadapan anak lelakinya sendiri.

Isteri Fernandes, seorang lagi kekasihnya, sepupunya dan seorang bekas pegawai polis, Marcos Santos, memukul Samudio secara bergilir-gilir. Santos juga mencekiknya dengan tali leher. Fernandes dipercayai hanya menyaksikan semua itu sedang wanita tersebut diseksa.

MAYAT DIPOTONG-POTONG, DIBERI KEPADA ANJING

Mayat Samudio lalu dipotong-potong dan diberikan sebagai makanan kepada anjing-anjing milik Fernandes.

Lebih mengejutkan, Fernandes apabila disoal siasat polis dengan segan silu mendakwa teman wanitanya itu sudah meninggalkan negara itu dan mengabaikan anak mereka.

Namun perkara yang sebenar akhirnya terbongkar juga dan Fernandes bahkan cuba membunuh dirinya sebanyak dua kali ketika menunggu dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun, hasil usaha pasukan guaman Fernandes, penjaga gol itu berjaya dibebaskan selepas hanya tujuh tahun dalam penjara.

PEMILIK KELAB MAHU BERI PELUANG KEDUA

Pemilik kelab Boa Esperte, yang mengambil Fernandes sebagai penjaga gol barunya, berkata pihaknya ingin memberikan peluang kedua kepada Fernandes.

“Di Brazil kami tidak menghukum seseorang itu buat selama-lamanya.

“Jadi ini bermakna apabila seorang banduan dibebaskan, mereka boleh mencari jalan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat dan bekerja,” kata Rone Moraes da Costa seperti ditukil The Telegraph.

Fernandes sendiri pula memberitahu televisyen Brazil, seperti ditukil The Sun, bahawa hukuman penjara seumur hidup sekalipun tidak akan menghidupkan kembali mangsanya.

“Saya mahu menjelaskan bahawa meskipun saya terus di sini dan dihukum penjara seumur hidup, mangsa tidak akan pulang.

“Ia pengalaman pengajaran, bukan satu hukuman,” katanya.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan