Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penerima Hadiah Nobel Keamanan Malala Yousafzai mulakan pengajian di Oxford

Malala Yousafzai, aktivis berusia 20 tahun dari Pakistan yang ditembak oleh kumpulan Taliban semata-mata kerana memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, sudahpun memulakan pengajiannya di Universiti Oxford minggu ini

Anggaran Waktu Membaca:
Penerima Hadiah Nobel Keamanan Malala Yousafzai mulakan pengajian di Oxford

Malala Yousafzai menghadiri sebuah majlis dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres setelah diberi pengiktirafan tinggi di New York. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Oct 2017 05:32PM Dikemas Kini : 11 Oct 2017 05:34PM

OXFORD: Malala Yousafzai, aktivis berusia 20 tahun dari Pakistan yang ditembak oleh kumpulan Taliban semata-mata kerana memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, sudahpun memulakan pengajiannya di Universiti Oxford minggu ini.

Malala, penerima paling muda bagi Hadiah Nobel Keamanan mengumumkan di Twitter pada hari Isnin (9 Oktober) bahawa beliau sudah memulakan kuliahnya yang pertama di universiti terulung Britain itu. Dalam catatan Twitternya itu, beliau turut mengongsi gambar sebuah komputer riba dengan tiga buku mengenai logik.

"Lima tahun lalu saya ditembak supaya saya berhenti memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan. Hari ini, saya menghadiri kuliah pertama saya di Oxford" kata beliau dalam catatan di Twitter.

Malala dengan rasminya diterima masuk ke Dewan Lady Margaret pada bulan Ogos. Ia juga merupakan kolej yang sama dengan Cik Benazir Bhutto, yang kemudian menyandang jawatan perdana menteri Pakistan.

Pada Ogos lalu, Malala ada mengatakan bahawa beliau akan melanjutkan pengajiannya dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi di universiti tersebut.

Pada usia yang muda, Malala sudah menegakkan hak kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan di Pakistan. Beliau pernah membuat penampilan bersama ayahnya Encik Ziuddin Yousafzai, yang merupakan pemilik sebuah sekolah perempuan, dalam dokumentari New York Times pada 2009 mengenai kumpulan Taliban yang melarang kanak-kanak perempuan daripada bersekolah.

Setelah cedera parah akibat ditembak pada tahun 2012, Malala dirawat di Britain.

Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di Birmingham, Britain, menurut Dana Malala, sebuah pertubuhan yang diasaskannya pada tahun 2013.

Pada tahun 2014, Malala dan seorang aktivis dari India, Kailash Satyarthi dianugerahi Hadiah Nobel Keamanan atas perjuangannya menentang penindasan terhadap kanak-kanak. Beliau juga menegakkan hak kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan di Pakistan.

Malala pernah bertemu dengan mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Ratu Elizabeth II.

Pada ulang tahunnya yang ke-16, beliau menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana 12 Julai diisytiharkan sebagai "Hari Malala".  

Sumber : Today/SM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan