Images
  • paris airport security
    Polis meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang Orly setelah seorang lelaki ditembak mati kerana menyerang seorang askar. (Gambar: AFP/Benjamin CREMEL)

Penerbangan disambung semula di lapangan terbang Paris; keluarga penyerang masih disiasat

PARIS: Penerbangan di lapangan terbang Orly di Paris kembali seperti sedia kala hari ini (19 Mac) sehari selepas seorang lelaki mencetuskan kekecohan apabila dia menyerang seorang askar sebelum ditembak mati.

Para penyiasat anti-pengganasan membebaskan bapa kepada penyerang tersebut hari ini (Ahad) tetapi masih menahan abang dan sepupunya sedang mereka mencuba mengetahui lebih lanjut tentang peribadi Ziyed Ben Belcagem, seorang warga Perancis berusia 39 tahun.

Ketiga-tiga ahli keluarga sudah berjumpa polis, menurut pendakwa Perancis Francois Molins di sidang media pada lewat Sabtu.

Molins berkata bahawa Ben Belcagem tidak mahu melepaskan seorang askar wanita dan mengacukan pistol di kepalanya, dan kemudian merampas senapang wanita itu.

"Lucutkan pistol-pistol anda. Letakkan tangan-tangan anda di kepala anda. Saya di sini untuk mati kerana Allah. Tidak kira apa yang terjadi sekalipun, tetap akan ada kematian." Demikian kata-kata Ben Belcagem kepada pasukan keselamatan, menurut Molins.

Dia turut menggunakan wanita tersebut sebagai pelindung diri tetapi wanita itu melutut, yang turut memberi peluang kepada askar-askar lain untuk menembak lelaki berkenaan.

Ben Belcagem sedang membawa sebuah tin petrol dan kitab Al-Quran dalam begnya, menurut Molins. Para pegawai turut berkata bahawa dia mempunyai beberapa kesalahan jenayah dan sebelum ini disiasat kerana dipercayai ada kaitan dengan kegiatan radikal.

Satu bedah siasat akan dijalankan pada Ahad untuk menentukan sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika serangan tersebut, menurut beberapa sumber.

Jumlah kokain yang kecil dan sebilah parang turut dijumpai sewaktu satu pencarian diadakan di apartmennya, yang terletak di kawasan pinggir bandar utara Paris di Garges-les-Gonesse pada tengah hari Sabtu.

Penerbangan dihentikan di lapangan terbang Orly selama beberapa jam menyusuli insiden menembak itu, yang berlaku sejurus sebelum 8.30 pagi (0730 GMT). Sekitar 3,000 orang dikosongkan dari bangunan tersebut.

Sekitar 100 orang yang terjejas terpaksa bermalam di Orly, di katil-katil yang disediakan oleh lapangan terbang itu, manakala 100 hingga 200 penumpang yang lain bermalam di hotel-hotel yang disediakan oleh syarikat-syarikat penerbangan. 

- Reuters/im

Komen Anda?

Top
>