Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwah Bilal Philips saman Ustaz Zamihan dan tuntut ganti rugi RM1 juta

 Mahkamah Tinggi menetapkan 30 November untuk pengurusan kes saman difailkan seorang pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah bebas, Ustaz Zamihan Mat Zin atas dakwaan memuat naik posting bergambar yang memfitnahnya di dalam Facebook November tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwah Bilal Philips saman Ustaz Zamihan dan tuntut ganti rugi RM1 juta

Pendakwah bebas warga Kanada Bilal Philips. (Gambar: Facebook / Dr. Bilal Philips)

Diterbitkan : 16 Nov 2017 06:13PM Dikemas Kini : 16 Nov 2017 06:17PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 30 November untuk pengurusan kes saman difailkan seorang pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah bebas, Ustaz Zamihan Mat Zin atas dakwaan memuat naik posting bergambar yang memfitnahnya di dalam Facebook November tahun lalu.

Pada 29 September lalu, Bilal Philips menyaman Zamihan, 41 tahun, selaku pembela atas dakwaan memuat naik gambarnya berserta kapsyen dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari pada 26 November 2016, yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Bilal Philips selaku plaintif mendakwa posting memfitnah itu turut mengandungi poster Kuliah Maghrib Khas yang disampaikan olehnya di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di Perlis pada 1 Disember 2016.

Kandungan posting itu, dakwa Bilal Philips, merujuk kepada dirinya berdasarkan gambarnya yang dimuat naik selain kenyataan "International Terrorism Supporter, dibenarkan berceramah di Perlis" yang merujuk poster Kuliah Maghrib Khas yang disampaikan olehnya.

CATATAN DAKWA BILAL PHILIPS TERLIBAT DENGAN PENGGANASAN

Bilal Philips mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dengan keganasan dan menyampaikan ceramah bagi mempromosi keganasan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Beliau turut mendakwa selain dapat diakses oleh pengguna-pengguna lain, posting memfitnah itu juga dikongsi oleh 119 pengguna Facebook yang lain.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya melalui akhbar utama pilihannya dan melalui Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari selain menarik balik posting berkenaan.

Turut dituntut perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula posting itu selain menuntut ganti rugi am lebih RM1 juta (S$320 ribu), ganti rugi teladan, teruk, faedah serta kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

ZAMIHAN DAKWA TIDAK TAHU MENGENAI POSTING BERGAMBAR

Dalam pembelaan difailkan pada 19 Oktober lalu, Encik Zamihan berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai posting bergambar itu yang tersebar di internet.

Defendan turut menegaskan bahawa pernyataan dalam posting bergambar itu bukan merupakan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Dakwanya lagi terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa plaintif terlibat dalam menyokong keganasan yang terdapat sumber termasuk akhbar National Post dan maklumat pihak polis yang menyatakan demikian.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan