Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendaki tertua M'sia kini di kem induk Everest; ketinggian 5,364m dari paras laut

James Lee Chong Meng, warga Malaysia tertua yang cuba menawan puncak Gunung Everest, tiba di kem Induk Everest (EBC).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaki tertua M'sia kini di kem induk Everest; ketinggian 5,364m dari paras laut

James Lee Chong Meng. (Gambar: Ramesh Rascalboy/Facebook)

Diterbitkan : 14 Apr 2017 10:07AM Dikemas Kini : 14 Apr 2017 10:08AM

KUALA LUMPUR: James Lee Chong Meng, warga Malaysia tertua yang cuba menawan puncak Gunung Everest, tiba di kem Induk Everest (EBC), petang Khamis (13 Apr).

Pendaki berusia 69 tahun itu berkata beliau dan anggota pasukannya tiba di EBC yang berada pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut itu, kira-kira 3.00 petang (waktu tempatan Nepal).

"Cuaca di sini amat baik dan kami berpeluang bergambar di sekitar EBC sebelum lima pendaki yang bersama saya akan turun ke Periche esok pagi selepas sarapan.

"Saya akan kekal berada di EBC bagi meneruskan latihan di Lobuche East," katanya dalam rakaman audio yang dihantar ke Bernama, rakan media pendaki tertua negara yang dalam misi sampai ke puncak tertinggi dunia itu.

Lee berkata dua pendaki, Eugene Kwan Jyh Sin, 47 tahun, dan Teng Hee Weng, 48 tahun, yang mengalami penyakit gunung akut (AMS) sebelum ini disahkan pulih.

AMS adalah kesan patologi ketinggian terhadap manusia yang berpunca daripada pendedahan akut kepada tekanan rendah oksigen di kawasan tinggi.

"Mereka telah pulih, bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan secara berkala tetap dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan kami sentiasa cergas.

"Saya pula telah dapat mengatasi perasaan dan kehadiran 'udara sejuk' yang membuat dada saya tidak selesa hasil daripada nasihat sherpa profesional berhubung pemakanan saya," katanya.

Lee dan pasukannya sampai ke Kathmandu pada 1 April lalu.

Lima pendaki yang bersamanya adalah Eugene, Chong Nyuk Kooi, 49 tahun, Teng Hee Weng, 48 tahun, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin yang masing-masing berusia 32 tahun.

Mereka akan menemani Lee sehingga ke Everest Base Camp sebelum Lee menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.

Pada Mei tahun lalu, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest apabila sampai ke Kem III pada ketinggian 7,200m kerana cuaca buruk. Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848m.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan