Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Timur Tengah bantah hasrat Trump pindah kedutaan ke Baitulmakdis

Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Raja Abdullah bagi Jordan, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Salman dari Arab Saudi, bergabung suara memberi amaran bahawa langkah Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmakdis. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Timur Tengah bantah hasrat Trump pindah kedutaan ke Baitulmakdis

Gambar hiasan bandar lama Baitulmakdis (Gambar: Ronen Zvulun/ Reuters).

Diterbitkan : 06 Dec 2017 10:43AM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 10:50AM

BAITULMAKDIS: Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Raja Abdullah bagi Jordan, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Salman dari Arab Saudi, bergabung suara memberi amaran bahawa langkah Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmakdis akan menggagalkan usaha damai yang diterajui oleh AS dan mencetus pergolakan di rantau itu.

Raja Salman dari Arab Saudi, semalam (5 Dis) memberi amaran tindakan Presiden Donald Trump itu adalah 'langkah bahaya' yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

"Memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (ke Baitulmakdis) adalah langkah bahaya yang akan memprovokasi perasaan umat Islam seluruh dunia," lapor Al-Ekhbariya TV memetik Raja Salman sebagai memberitahu Encik Trump dalam panggilan telefon.

Presiden Trump memaklumkan kepada Presiden Mahmud Abbas mengenai hasratnya memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmakdis.

Pengumuman itu mencetuskan kritikan daripada pemimpin Arab itu.

Encik Abbas "memberi amaran tindakan sepihak AS beri kesan buruk kepada proses damai serta keamanan dan kestabilan di rantau itu dan dunia".

Beliau juga merayu kepada Pope dan para pemimpin Rusia, Perancis dan Jordan untuk campur tangan.

Sementara itu di Amman, nada sama dilontarkan Raja Abdullah yang menyifatkan langkah itu memberi kesan bahaya kepada kestabilan rantau itu.

Raja Abdullah dipetik sebagai berkata sebarang keputusan seumpama itu bahaya kepada kestabilan dan keselamatan rantau berkenaan serta menghalang usaha AS menyambung semula rundingan damai Arab - Israel.

Turut menyatakan bantahan terhadap tindakan Presiden Trump itu adalah Raja Mohammed VI dari Maghribi.

Dalam surat terbuka kepada Encik Trump, Raja Mohammed meluahkan 'kebimbangan mendalam' dan 'kebimbangan dirasakan negara Arab dan Islam dan penganutnya' berhubung langkah mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke situ.

Para pegawai kanan Amerika Syarikat berkata Presiden Trump pada hari Rabu (6 Disember) dijangka mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel. Namun, beliau menunda memindahkan kedutaan itu dari Tel Aviv selama enam bulan lagi, meskipun sudah merancang mengarahkan kakitangannya untuk segera memulakan perancangan untuk berpindah. 

Sumber : AFP/Reuters/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan