Images
  • rohingya bangladesh
    Para pelarian Rohingya beratur bagi bantuan di Cox's Bazar, Bangladesh. (Gambar: REUTERS/Cathal McNaughton)

Pelarian di Bangladesh cecah 536,000, usaha cegah wabak bawaan air dipertingkat

BANGLADESH: Jumlah pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh kini mencecah 536,000 orang dengan 14,000 daripadanya menyeberangi sempadan dalam tempoh dua hari lepas, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam dalam laporan agensi berita China Xinhua.

Jurucakap PBB Farhan Haq berkata, Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Politik Jeffrey Feltman akan berada di Myanmar dari Jumaat hingga Selasa untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Myanmar.

Encik Haq berkata, lawatan itu susulan gesaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres "untuk menamatkan operasi ketenteraan dan keganasan di Rakhine, mempertingkat akses bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dan huraian bagi membolehkan pelarian kembali semula ke negara asal mereka dengan selamat."

"Perbincangan juga akan menumpukan kepada membina kerjasama konstruktif antara Myanmar dan PBB untuk menangani isu-isu asas yang menjejas masyarakat di kawasan berkenaan," kata jurucakap itu.

Encik Haq menambah, UNICEF dan pemerintah Bangladesh bersetuju untuk membina 10,000 tandas di kem serta penempatan pelarian di Cox's Bazar.

Matlamanya untuk mencegah penularan wabak penyakit. Setiap tandas membabitkan kos sekurang-kurangnya US$150 (S$250) dan mampu memberi kemudahan sanitasi kepada kira-kira 150,000 orang pelarian.

"Menurut UNICEF, sudah terdapat laporan tentang penyakit bawaan air di kem berkenaan, sebab itu sistem kawalan kebersihan awam perlu dipertingkatkan," kata Encik Haq. 

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top