Images
  • K.T. McFarland
    Cik K.T. McFarland, mantan penasihat keselamatan negara kepada Presiden Donald Trump, sebagai Duta Amerika Syarikat ke Singapura ditangguhkan. (Gambar: Chris Kleponis/ AFP)

Pelantikan mantan penasihat Trump jadi duta AS ke Singapura ditangguhkan atas isu Rusia

WASHINGTON: Pelantikan Cik K.T. McFarland, mantan penasihat keselamatan negara kepada Presiden Donald Trump, sebagai Duta Amerika Syarikat ke Singapura ditangguhkan kerana kebimbangan mengenai keterangannya kepada Kongres berhubung hubungan beliau dengan pihak Rusia.

Demikian menurut pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, pada Selasa (5 Dis).

"Pencalonannya dibekukan buat sementara sehinggalah isu itu selesai," kata Senator Republican Bob Corker kepada para wartawan.

Encik Trump awal tahun ini mencalonkan Cik McFarland, menjadi duta AS ke Singapura.

Jawatankuasa hubungan luar negara meluluskan pencalonan beliau pada bulan September walaupun ia dibantah hampir semua anggota Democrat.

Cik McFarland dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Senator Democrat Cory Booker, anggota jawatankuasa hubungan luar, berkata bahawa beliau "tidak menyedari" adanya hubungan komunikasi antara bekas penasihat keselamatan negara Presiden Trump, Michael Flynn dan Sergei Kislyak, ketika Kislyak menjadi duta Rusia.

Pada hari Jumaat (1 Dis) Flynn mengaku bersalah berbohong kepada FBI mengenai kenalannya dengan Rusia.

Flynn juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa yang menyelidiki perbuatan kenalan rapat Encik Trump sebelum beliau menyandang jawatan Presiden.

- Reuters/SU/aq

Komen Anda?

Top