Pegawai Indonesia: Enam lagi mayat QZ8501 ditemui
Para penyelam Indonesia menemui enam lagi mayat dari pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, menurut seorang pegawai Indonesia.
JAKARTA: Para penyelam Indonesia menemui enam lagi mayat dari pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, menurut seorang pegawai Indonesia.
Ini menjadikan jumlah mayat mangsa yang dijumpai 84 kesemuanya, sejak nahas tersebut pada 28 Disember lalu.
Dua mayat ditemui di dalam bahagian utama pesawat itu di dasar Laut Jawa, sementara empat lagi ditemui dekat bangkai pesawat tersebut.
Satu lagi mayat ditemui Ahad lalu, sedang Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menyambung semula operasi.
Para penyelam berehat selama dua hari setelah menjalankan operasi mencari di laut selama berminggu-minggu, dalam keadaan cuaca yang mencabar.
Misi untuk mencari baki 78 mangsa pesawat QZ8501 masih diteruskan.
"Para penyelam akan teruskan operasi mencari lebih banyak mayat esok," kata S.B. Supriyadi, pegawai BASARNAS yang menyelaraskan operasi tersebut.
QZ8501 terhempas ketika dalam perjalanan dari bandar Surabaya di Indonesia ke Singapura, dengan membawa 162 penumpang dan anak kapal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.