Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB: Rohingya di Myanmar mungkin mangsa 'jenayah kemanusiaan'

Pencabulan hak asasi kaum Rohingya di Myanmar boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB: Rohingya di Myanmar mungkin mangsa 'jenayah kemanusiaan'

Wanita Rohingya di sebuah kem pelarian di Teknaf. (Gambar hiasan: AFP/Munir uz ZAMAN)

Diterbitkan : 20 Jun 2016 11:33PM Dikemas Kini : 20 Jun 2016 11:37PM

GENEVA: Pencabulan hak asasi kaum Rohingya di Myanmar boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tersebut tentang masyarakat minoriti beragama Islam di Myanmar itu, hari ini (20 Jun).

Pencabulan itu termasuk tidak memberikan mereka kerakyatan, menjadikan mereka buruh paksa dan keganasan seksual terhadap mereka.

Dalam laporannya, pejabat hak asasi manusia PBB menyatakan ia mendapati "terdapat bentuk pencabulan secara beramai-ramai terhadap kaum Rohingya, yang memberi gambaran ia satu serangan sistematik yang dilancarkan secara besar-besaran, dan ia kemungkinan dianggap jenayah terhadap kemanusiaan jika disahkan di mahkamah undang-undang."

Laporan itu dikeluarkan sedang harapan memuncak bahawa pemerintah baru Myanmar, yang diterajui Aung San Suu Kyi dan parti pro-demokrasinya, akan menumpukan perhatian kepada kebencian terhadap Rohingya di Rakhine.

Puluhan ribu Rohingya ditempatkan di kem-kem sempit setelah kehilangan tempat tinggal menyusuli rusuhan-rusuhan berdarah dengan para penganut Buddha pada 2012.

Ketua hak asasi manusia PBB, Zeid Ra'ad Al Hussein berkata beliau rasa "terangsang" dengan kenyataan-kenyataan oleh pemerintah baru itu yang dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu.

Namun beliau memberi amaran bahawa pemerintah baru itu "mewarisi situasi di mana undang-undang dan dasar-dasar sedia ada direka untuk menafikan hak-hak asasi masyarakat minoriti, dan pencabulan-pencabulan serius tidak dikenakan hukuman, hingga menggalak lebih banyak keganasan terhadap mereka."

Meskipun begitu, katanya, pemerintah baru Myanmar mesti berusaha untuk menghentikan pencabulan yang berleluasa dan mengelak lebih banyak pencabulan seperti itu terhadap masyarakat minoriti etnik dan agama Myanmar.

Siasatan pejabat PBB selama setahun mendapati terdapat "peningkatan yang membimbangkan" bagi kes menghasut kebencian dan sikap tidak bertoleransi terhadap agama oleh pertubuhan-pertubuhan tegar Buddha terhadap Rohingya.

Para penganut tegar bahkan mengadakan tunjuk perasaan di serata negara untuk membantah penggunaan kekata Rohingya.

Mereka melabelkan kumpulan itu sebagai "Bengali", dan menyifatkan kaum Rohingya lebih 1 juta di Myanmar itu sebagai para pendatang haram dari Bangladesh.

Masyarakat Rohingya di Myanmar tidak diberikan kerakyatan meskipun mereka sudah berada di negara itu sejak turun-temurun.

Laporan PBB itu juga mendapati pasukan-pasukan keselamatan Myanmar melakukan pelbagai pencabulan terhadap Rohingya.

Ini termasuk menjatuhkan hukuman mati tanpa perbicaraan, lenyap tanpa penjelasan, ditangkap dan ditahan tanpa proses undang-undang yang betul, penyeksaan, layanan buruk dan dipaksa menjadi buruh, menurut laporan itu.

Masyarakat Rohingya di Rakhine juga memerlukan izin rasmi untuk ke bandar lain, dan ini amat menyekat kebebasan mereka untuk bergerak, sehingga menjejas mata pencarian, pendidikan, jagaan kesihatan dan rawatan kecemasan untuk mereka.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan