Images
  • north korea rocket
    Gambar fail roket Korea Utara. (Gambar: AFP/Ed JONES)

PBB kutuk ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara.

Ia juga memberi amaran kepada Pyongyang supaya jangan melakukan lagi ujian nuklear, atau menghadapi tindak balas lanjut termasuk sekatan lebih keras.

Kenyataan bersama itu hanya dikeluarkan semalam (20 Apr) dan kelewatan itu disebabkan adanya perselisihan antara Amerika Syarikat dengan Rusia berhubung kandungannya.

Ia dikeluarkan menjelang satu lagi sidang Majlis Keselamatan minggu depan yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Negara Amerika Rex Tillerson.

Beliau akan mengetuai perbincangan mengenai langkah-langkah lanjut yang boleh diambil PBB untuk menghentikan program-program peluru berpandu dan nuklear Pyongyang.

Sementara itu media rasmi Korea Utara memberi amaran Pyongyang akan melancarkan "serangan amat kuat" jika Amerika timbulkan provokasi.

Ini mencetuskan kebimbangan, Korea Utara akan menjalankan ujian nuklear keenam tidak lama lagi.

Washington dalam pada itu terus memberi tekanan kepada China supaya melakukan lebih lagi bagi mengekang tindak-tanduk sekutunya itu.

Beijing berulang kali menegaskan, krisis Semenanjung Korea mesti dihuraikan secara aman.  

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top