Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasca serangan bom nekad di Jakarta Timur; 3 warga Indonesia ditangkap

Di Indonesia, tiga orang ditangkap berhubung dua serangan pengebom nekad di Jakarta Timur, kelmarin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasca serangan bom nekad di Jakarta Timur; 3 warga Indonesia ditangkap

Polis Indonesia memeriksa bahagian badan yang ditemui selepas letupan bom di terminal bas Kampung Melayu di Jakarta. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 May 2017 09:00PM Dikemas Kini : 26 May 2017 09:10PM

JAKARTA: Di Indonesia, tiga orang ditangkap berhubung dua serangan pengebom nekad di Jakarta Timur, kelmarin.

Seorang jurucakap polis berkata dua suspek ditangkap di Bandung manakala seorang lagi di Cimahi.

Ketiga-tiga orang yang disyaki terbabit dalam serangan bom di Terminal Bas Kampung Melayu malam kelmarin, ditangkap semalam.

Semasa menyerbu rumah-rumah mereka, polis menemui sejumlah bahan mengajar agama Islam serta senjata-senjata tajam.

Kumpulan pengganas ISIS mendakwa dua pengebom nekadnya adalah anggota-anggotanya.

Para penganalisis pula menuding jari ke arah Jamaah Ansharut Daulah yang memang ada kaitan dengan ISIS dan melakukan serangan bom di Bandung pada Februari lalu.

Serangan bom kelmarin membunuh tiga anggota polis.

Beberapa lagi anggota polis serta orang awam, cedera.

Polis mengenal pasti dua pengebom nekadnya, masing-masing berusia 32 tahun, asal Bandung.

Mereka ialah Ahmad Shukri, seorang buruh, dan Ichwan Nurul Salam, seorang karyawan swasta.

Semasa melawat tempat kejadian malam semalam, Presiden Joko Widodo, yang dikenali sebagai Jokowi, berkata pemerintah dan parlimen akan segera menyelesaikan semakan terhadap undang-undang anti pengganasan kerana keadaannya semakin mendesak.

"Kita ingin pemerintah dan parlimen segera menyelesaikan undang-undang anti pengganasan sehingga akan memudahkan pasukan keselamatan, penegak hukum, agar memiliki sebuah landasan yang kuat dalam bertindak dan lebih mampu melakukan upaya pencegahan sebelum kejadian itu terjadi." kata Jokowi.

Pemerintah dan parlimen Indonesia membahaskan semakan terhadap undang-undang itu sejak tahun lalu.

Perubahan-perubahan yang disarankan termasuk membenarkan polis menahan suspek pengganas selama enam bulan.

Selain itu, rakyat Indonesia juga akan diharamkan menyertai kumpulan militan di luar negeri.

Semakan itu sepatutnya selesai pada Oktober tahun lalu, namun ianya tertangguh, mungkin sehingga bulan ini.

Para aktivis hak asasi manusia mahu pemerintah memberi jaminan tentang keselamatan orang-orang tahanan supaya kuasa baru yang diberikan kepada pihak berkuasa tidak disalah gunakan.

Sumber : Agensi berita/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan