Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Parti baru Dr M berdepan cabaran besar jatuhkan kepimpinan PM Najib Razak

Dalam perkembangan politik Malaysia, para pengamat berkata, parti baru yang dibentuk oleh mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menghadapi cabaran besar untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:

MALAYSIA: Dalam perkembangan politik Malaysia, para pengamat berkata, parti baru yang dibentuk oleh mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menghadapi cabaran besar untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

Ini disebabkan oleh perpecahan dalam pembangkang serta ideologi parti itu yang mengutamakan hak golongan pribumi.

Pilihan raya umum seterusnya di Malaysia harus diadakan sebelum Ogos 2018.

Menjelang tarikh tersebut, senario politik di Malaysia dihangatkan dengan kemunculan sebuah parti politik baru yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Buat pertama kali dalam sejarah negara itu, seorang Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti politik baru dengan tujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang memerintah.

Namun menurut para pengamat, populariti dan pengaruh Dr Mahathir belum tentu dapat menyatukan pembangkang, yang dilanda keretakan sejak kebelakangan ini.

"Sebahagian daripada ahli pembangkang kurang selesa bekerjasama dengan Dr Mahathir kerana mereka berpendapat Dr Mahathir juga bertanggungjawab atas tindakan keras yang diambil oleh beliau untuk melemahkan pendirian dan keupayaan parti-parti pembangkang semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun," kata Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin.

Dengan beberapa bekas pemimpin utama UMNO yang mengetuainya termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, persoalan yang timbul adalah sejauh mana parti baru ini dapat meraih sokongan daripada golongan bukan Melayu.

Meskipun Encik Muhyiddin berkata, golongan bukan bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu, kedua-dua parti ditubuhkan berteraskan kaum Melayu dan Bumiputera.

"Parti ini adalah parti yang terbuka hanya untuk bumiputera umpamanya, jadi bagaimana kesannya kepada masyarakat majmuk Malaysia. Parti DAP umpamanya atau PKR adalah parti-parti yang dapat menerima keahlian daripada sesiapa sahaja. Dari segi ideologi, parti pembangkang harus bersatu dan mungkin ada satu faktor persamaan yang dapat menyatukan parti-parti pembangkang," menurut Penolong Profesor RSIS Dr Md Nawab Md Osman.

Kemenangan besar yang dicapai oleh gabungan parti memerintah, Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak serta pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun ini, menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri Najib tetap utuh.

Para pengamat berkata, kejayaan parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir juga akan bergantung kepada percaturannya untuk memilih kerusi mana untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan