Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Para pemimpin UMNO kata pertemuan Mahathir, Anwar tidak ikhlas

Para pemimpin UMNO berkata pertemuan tidak dirancang antara mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dilakukan dengan ikhlas.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pemimpin UMNO kata pertemuan Mahathir, Anwar tidak ikhlas

Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kali dalam 18 tahun. (Gambar: PKR/Facebook)

Diterbitkan : 07 Sep 2016 12:00AM Dikemas Kini : 07 Sep 2016 02:11AM

PUTRAJAYA: Para pemimpin UMNO berkata pertemuan tidak dirancang antara mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dilakukan dengan ikhlas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertemuan itu sebagai tindakan politik yang terdesak oleh Dr Mahathir untuk cuba menyatukan pihak pembangkang yang berpecah belah, setelah gagal menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini pertemuan politik tanpa sebarang keikhlasan. Ia terdorong oleh keadaan terdesak kerana (Mahathir) perlukan parti-parti pembangkang menyokongnya," kata beliau.

Selama hampir dua dekad, permusuhan politik antara Dr Mahathir dan mantan timbalannya, Datuk Seri Anwar, yang dipecat atas kesalahan meliwat, mendominasi politik Malaysia.

"BERMULANYA PERKEMBANGAN TIDAK DIJANGKA DALAM POLITIK"

Oleh itu, bukan satu kejutan apabila ramai warga Malaysia terperanjat melihat kedua-duanya berjabat tangan semalam (5 Sep) buat pertama kali dalam 18 tahun.

"Mereka berdua mempunyai personaliti yang kuat yang bercanggah antara satu sama lain, yang menjejas ramai orang bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam perniagaan dan bidang lain," kata Ibrahim Suffian, pengarah program Pusat Merdeka.

"Melihat mereka berjabat tangan sesuatu yang amat menarik. Ia menandakan bermulanya perkembangan tidak dijangka dalam saga politik kita," ujarnya.

Keith Leong, ketua kajian KRA Group, pula berkata: "Dalam politik Melayu, budaya Melayu, anda tidak sepatutnya berdendam dengan sesiapa. (Mahathir) sudah berusia 91 tahun jadi mungkin ini caranya beliau berbaik-baik semula, meskipun beliau tidak akan mengatakannya."

Dr Mahathir sudah sejak sekian lama menerajui satu kempen untuk menyingkirkan PM Najib atas dakwaan rasuah melibatkan syarikat 1MDB.

Beliau melancarkan gerakan rakyat dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta para pemimpin pembangkang, dan sedang cuba menubuhkan sebuah parti baru dengan mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk cuba menubuhkan perikatan pembangkang.

PEMERHATI: RAMAI RAGU-RAGU AGENDA DR MAHATHIR

Namun para penganalisis berkata Dr Mahathir tidak mempunyai kepercayaan orang awam dan ramai yang ragu-ragu tentang agenda reformasinya.

"Pertemuan itu melambangkan penerimaan bahawa agenda reformasi itu perlu dilakukan. Orang ramai akan menunggu dalam berhari-hari dan berminggu-minggu akan datang ini untuk melihat retorik reformasi apa yang akan dikeluarkan," kata Encik Ibrahim.

Mereka menambah bahawa PM Najib tidak berkemungkinan risau tentang pertemuan tidak dirancang itu, kerana beliau mempunyai sokongan kukuh UMNO.

"Sudah dijangkakan para pemimpin UMNO akan mengecamnya. Tapi jangan pandang rendah betapa serius langkah Mahathir ini. Jika beliau dan Anwar mencapai persetujuan kali ini, UMNO dan Barisan Nasional akan berdepan dengan masalah," kata Yang Razali Kassim, zamil kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

Dengan pilihan raya seterusnya dijangka akan diadakan pada 2017, semua orang akan memerhatikan langkah Dr Mahathir seterusnya sedang beliau cuba menubuhkan pakatan pembangkang yang kukuh.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan