Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Panggung wayang, panggung opera, mungkin dibuka semula di Arab Saudi

Arab Saudi pernah mempunyai beberapa panggung wayang pada tahun-tahun 1970-an. Namun para ulama memujuk pihak berkuasa untuk menutup panggung wayang tersebut, ekoran pengaruh Islam konservatif yang meningkat di tanah Arab pada ketika itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Panggung wayang, panggung opera, mungkin dibuka semula di Arab Saudi

Para wanita Arab Saudi beratur untuk memasuki satu acara komik yang buat julung-julung kalinya diadakan di negara itu. (Gambar: FAYEZ NURELDINE / AFP)

Diterbitkan : 30 Apr 2017 12:15AM Dikemas Kini : 30 Apr 2017 12:18AM

RIYADH: Arab Saudi pada suatu hari nanti akan membuka semula panggung wayang dan membina panggung opera bertaraf dunia.

Demikian menurut Encik Ahmed al-Khatib, iaitu ketua yang memimpin rombakan bagi hiburan di Arab Saudi pada Khamis (27 Apr), seperti ditukil Arab News.

Arab Saudi pernah mempunyai beberapa panggung wayang pada tahun-tahun 1970-an. Namun para ulama memujuk pihak berkuasa untuk menutup panggung wayang tersebut, ekoran pengaruh Islam konservatif yang meningkat di tanah Arab pada ketika itu.

Menurut Arab News lagi, sehingga kini panggung wayang masih lagi diharamkan, kerana dianggap sebagai maksiat. Walaupun konsert-konsert mula diadakan pada tahun ini, ia tidak disenangi golongan ulama negara berkenaan.

PERUBAHAN LANSKAP BUDAYA DAN HIBURAN

Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi sudahpun menjanjikan pembaharuan kepada lanskap budaya negara tersebut menerusi "Visi 2030" yang diumumkan Timbalan Tengku Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz pada tahun lalu.

Ia bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan dan membebaskan gaya hidup terkurung warga Saudi.

Dalam satu wawancara dengan Reuters, Encik Ahmed al-Khatib, yang merupakan Pengerusi bagi Penguasa Hiburan Am (GEA), berkata pihak konservatif yang mengkritik pembaharuan itu mula sedar bahawa kebanyakan warga Saudi di bawah usia 30 tahun, mahukan perubahan-perubahan tersebut.

Matlamat beliau adalah untuk mewujudkan hiburan yang "99 peratus seperti apa yang ada di London dan New York", lapor Arab News. Sungguhpun demikian beliau akur, bahawa perubahan itu tidak akan berlaku dengan pantas disebabkan budaya Arab Saudi yang konservatif.

Budaya konservatif kata Encik al-Khatib, bukan terus menerus begitu di Arab Saudi sebelum ini. Ia sudah demikian sejak berdekad-dekad lamanya. Lantaran itu, ia mengambil masa untuk diubah kata Encik ak-Khatib lagi.

WARGA SAUDI BELANJA AS$20 BILION UNTUK HIBURAN DI LUAR NEGARA

Buat jangka pendek, mewujudkan semula panggung wayang bukanlah dalam agendanya, tetapi ia akan dibuka di Arab Saudi satu hari nanti, kata beliau.

"Kami akan mencapai perkara itu. Saya tahu bagaimana. Saya tidak tahu bila," ujar Encik al-Khatib.

Antara lain, perubahan-perubahan itu juga bertujuan menarik sehingga suku daripada perbelanjaan warga Saudi untuk hiburan.

Laporan Saudi Gazette menyebut bahawa warga Saudi berbelanja sehingga AS$20 bilion (S$28bilion) di luar negara untuk melawat taman-taman hiburan dan menyaksikan pertunjukan hiburan. 

Sumber : Agensi berita/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan