Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Panel Senat AS beri lampu hijau kepada calon Trump bagi setiausaha negara

Sebuah panel Senat Amerika Syarikat pada Isnin (23 Jan) memberi lampu hijau kepada calon yang dipilih Presiden Donald Trump sebagai setiausaha negara, iaitu mantan ketua ExxonMobil, Rex Tillerson.

Anggaran Waktu Membaca:
Panel Senat AS beri lampu hijau kepada calon Trump bagi setiausaha negara

Mantan CEO ExxonMobil, Rex Tillerson. (Gambar: AFP/CHRIS KLEPONIS)

Diterbitkan : 24 Jan 2017 10:40AM Dikemas Kini : 24 Jan 2017 10:42AM

WASHINGTON: Sebuah panel Senat Amerika Syarikat pada Isnin (23 Jan) memberi lampu hijau kepada calon yang dipilih Presiden Donald Trump sebagai setiausaha negara, iaitu mantan ketua ExxonMobil, Rex Tillerson.

Langkah itu memberi laluan bagi undi pengesahan oleh seluruh dewan.

Undi yang diberikan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat itu ialah 11 undi setuju berbanding 10 undi menentang, memberi laluan kepada tempoh perbahasan dan proses undi selepas itu pada hari yang belum ditentukan nanti di Senat yang dikawal pihak Republican.

Hanya tiga anggota kabinet Encik Trump disahkan memegang jawatan mereka - Setiausaha Pertahanan James Mattis, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly dan ketua Agensi Risikan Pusat (CIA) Mike Pompeo. Justeru para anggota Senat dari parti Republican sedang cuba mempercepatkan proses mengesahkan calon-calon Encik Trump yang lain.

Encik Tillerson berada di kedudukan yang menguntungkan apabila Ahli Senat Marco Rubio, antara tiga anggota Republican yang meluahkan rasa ragu-ragu terhadapnya, mengumumkan beliau akan menyokong Encik Tillerson bagi jawatan itu meskipun berasa amat curiga tentang langkah itu.

Encik Rubio berkata beliau masih prihatin akan kedudukan Encik Tillerson tentang hak asasi manusia.

Namun beliau menekankan bahawa memandangkan "ketidaktentuan" tentang hala tuju Amerika Syarikat berhubung dasar ehwal luar, "akan bertentangan dengan kepentingan nasional kami untuk menangguh pengesahan ini tanpa sebab munasabah atau hingga ia diselubungi kontroversi."

Para Ahli Senat John McCain dan Lindsey Graham, iaitu anggota Republican lain yang meluahkan rasa ragu-ragu tentang Encik Tillerson dan urusannya dengan Rusia sebelum ini, turut meluahkan sokongan.

Anggota Republican memegang 52 kerusi dalam Senat sebanyak 100 kerusi. Majoriti mudah diperlukan untuk mengesahkan jawatan-jawatan kabinet.

"Saya secara peribadi tidak ragu-ragu Rex Tillerson berkelayakan baik," kata pengerusi jawatankuasa itu, Ahli Senat Bob Corker.

Namun para anggota Democrat dalam panel itu membantah Encik Tillerson memegang jawatan itu.

"Saya percaya kecenderungan perniagaan Encik Tillerson yang ditunjukkannya sebelum ini.. boleh menjejas kebolehannya sebagai setiausaha negara untuk secara paksa, mempromosikan nilai-nilai dan ideal yang sudah mendefinasikan negara kami dan peranan kami sebagai ketua di dunia ini selama lebih 200 tahun," kata Ahli Senat Ben Cardin.

Pasukan Encik Trump meminta beberapa calon disahkan pada Jumaat lalu iaitu pada hari Encik Trump mengangkat sumpah jawatan, namun para anggota Democrat menyekat proses undi dan berhujah pemeriksaan etika dan semakan lain terhadap calon-calon utama adalah tidak mencukupi.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan