Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Pandangan majoriti senyap lebih berbisa daripada minoriti bising'

Majoriti senyap mungkin menjadi golongan yang menentukan masa depan politik negara di kotak undi, dan bukan minoriti yang lantang bersuara dalam media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
'Pandangan majoriti senyap lebih berbisa daripada minoriti bising'

Gambar hiasan, seorang pengundi. (AFP/GOH CHAI HIN)

Diterbitkan : 13 Sep 2015 05:01PM Dikemas Kini : 13 Sep 2015 05:40PM

KUALA LUMPUR: Majoriti senyap mungkin menjadi golongan yang menentukan masa depan politik negara di kotak undian, dan bukan minoriti yang lantang bersuara dalam media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mungkin terdapat ribuan peserta menyertai perhimpunan jalanan sambil menjerit dan meluangkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.

Namun di sebaliknya, kata beliau, ada juga kumpulan yang lebih besar yang tidak mempunyai isu serta tidak sealiran dengan pandangan kumpulan minoriti yang
banyak membuat bising.

"Wujud kumpulan yang lebih besar yang senyap dan menyatakan sokongan atau sebaliknya di peti undi," katanya dalam tulisan terbaru di blognya semalam.

Beliau menarik perhatian bahawa ahli-ahli politik pada amnya tidak takut dengan golongan minoriti bising berbanding majoriti senyap.

"Apa yang mereka takut adalah majoriti senyap, kerana tiada siapa tahu pemikiran majoriti senyap itu dan apa tindakan mereka ambil pada hari pengundian," katanya.

PILIHAN RAYA S'PURA DIAMBIL SEBAGAI CONTOH

Mengambil Pilihan Raya Umum Singapura kelmarin sebagai contoh, Datuk Seri Salleh berkata golongan minoriti yang lantang bersuara dan bising menguasai Internet dan media sosial, dan seolah-olah kelihatan mereka mewakili golongan majoriti.

Tetapi keputusan Pilihan Raya Umum Singapura itu, kata beliau, membuktikan bahawa majoriti senyap tidak bersama-sama dengan minoriti bising.

Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa Internet dan media sosial di Malaysia dikuasai oleh golongan minoriti bising.

"Malah, ramai yang takut dan tidak mahu mengirim pandangan masing-masing kerana sekiranya tidak bersetuju dengan minoriti bising, mereka dicerca dan dihina," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sama seperti apa yang berlaku di Singapura, golongan majoriti senyap hilang minat dengan pandangan minoriti bising dalam Internet dan media sosial.

Datuk Seri Salleh berkata golongan majoriti senyap mendengar apa yang diutarakan oleh golongan minoriti yang lantang bersuara mengenai sesuatu isu, dan lebih banyak yang diperkatakan oleh mereka, lebih banyak orang berpaling tadah.

"Kadang-kadang tindakan keterlaluan boleh menjadi musuh... seperti apa yang terbukti pada pilihan raya Singapura," katanya.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan