Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Orang Islam di Itali adakan bantahan bagi kebebasan bersolat

Beberapa ratus Muslim menunaikan solat di luar bangunan Colosseum di Rome sebagai bantahan terhadap apa yang menurut mereka adalah sekatan tidak adil terhadap kebebasan mengamalkan agama Islam di Itali.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Oct 2016 04:54PM Dikemas Kini : 22 Oct 2016 10:23PM

ROME: Beberapa ratus Muslim menunaikan solat di luar bangunan Colosseum di Rome sebagai bantahan terhadap apa yang menurut mereka adalah sekatan tidak adil terhadap kebebasan mengamalkan agama Islam di Itali.

Para penganjur berkata mereka mengadakan bantahan itu semalam (21 Okt) menyusuli penutupan lima masjid sementara di negara itu atas sebab-sebab pentadbiran.

Ramai rakyat Muslim Itali mengesyaki pihak berkuasa tempatan memberi respons terhadap rasa curiga terhadap orang Islam akibat serangan pelampau baru-baru ini di Eropah, dengan menutup tempat-tempat ibadah disebabkan masalah-masalah yang mudah dihuraikan, seperti jumlah tandas di sesebuah premis tertentu.

"Kami merasakan orang ramai menuding jari ke arah kami," kata Francesco Tieri, seorang warga Itali yang memeluk agama Islam yang merupakan penyelaras bagi beberapa kumpulan Islam.

"Tiada keinginan politik untuk mengiktiraf bahawa kami ada di sini dan kami masyarakat yang aman. Kami terpaksa menyewa tempat untuk solat - yang bagi kami adalah seperti bernafas, jika kami tidak boleh lakukannya, kami akan mati," katanya lagi.

Menurut perangkaan rasmi, lebih 800,000 orang Islam tinggal di Itali secara sah dan para pegawai menganggarkan lagi 100,000 tinggal di negara itu secara tetap tanpa dokumen rasmi.

Ini bermakna masyarakat Islam mungkin membentuk lebih 1.5 peratus penduduk di Itali dan Islam merupakan agama kedua yang paling ramai dianuti di negara yang kebanyakan penduduknya beragama Roman Katolik itu.

Islam bagaimanapun tidak diiktiraf sebagai agama rasmi di Itali, tidak seperti agama Yahudi atau Mormon, dan ramai orang Islam dari utara Afrika dan Asia Selatan rasa didiskriminasi dari segi kaum dan agama.

Rome menempatkan masjid terbesar di dunia Barat, namun saranan-saranan untuk membina masjid-masjid bercorak tradisional di tempat lain kerap dibantah majlis-majlis tempatan yang boleh menyekat izin bagi merancang pembinaan atas pelbagai sebab teknikal daripada saranan saiz kemudahan meletak kereta, dan keharmonian seni bina dengan sesuatu kejiranan tertentu.

Parti-parti berhaluan kanan menyeru agar mengharamkan mana-mana masjid yang dibina dengan dana dari penderma di luar Itali.

Anggota Parlimen Barbara Saltamartini dari Liga Utara yang anti-imigresen, menyifatkan bantahan itu sebagai "provokasi tidak boleh diterima" yang tidak sepatutnya dibenarkan diadakan di Rome sama sekali.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan