Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Nora terkilan tidak dapat raikan ulang tahun perkahwinan ke-25 dengan Johan Nawawi

Hasrat penyanyi Nora Ariffin untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-25 tidak kesampaian apabila suaminya komposer Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung.

Anggaran Waktu Membaca:
Nora terkilan tidak dapat raikan ulang tahun perkahwinan ke-25 dengan Johan Nawawi

Nora Ariffin (tudung hitam), isteri kepada Allahyarham Johan Nawawi. (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube)

Diterbitkan : 24 Mar 2017 03:56PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 03:58PM

PETALING JAYA: Hasrat penyanyi Nora Ariffin untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-25 tidak kesampaian apabila suaminya komposer Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam petikan laporan mStar, Nora, 44, berkata, Allahyarham merancang untuk mengadakan majlis istimewa tersebut sempena ulang tahun berkenaan pada 9 April depan dengan menggayakan pakaian tuksedo.

"Dia ada merancang untuk mengadakan persembahan pada majlis ulang tahun perkahwinan kami April depan.

"Dia kata nak pakai tuksedo pada hari itu dan saya pakai baju Azura. Ia seperti meraikan kembali perkahwinan kami. Namun perancangan Allah itu kita tidak tahu," ujarnya.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin ditemui di Masjid Ar Rahman, di sini, Jumaat.

Allahyarham Johan Nawawi, 52, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya sekitar pukul 6.30 pagi Jumaat.

Dalam tukilan laporan mStar, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 11.30 malam Khamis selepas kesihatannya merosot. Nora berkata, beliau tidak sempat berada di sisi suaminya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

"Saya bawa dia ke hospital pada malam tadi dan terus ditahan di wad kecemasan, saya minta bilik eksekutif tapi penuh.

"Jadi saya terpaksa balik, selepas itu kira-kira pukul 5.30 pagi pihak hospital telefon beritahu arwah dalam keadaan tenat.

"Bila saya sampai, doktor beritahu arwah sudah meninggal dunia. Pada mulanya saya seakan-akan tidak percaya minta mereka buat pemeriksaan sekali lagi. Tapi saya reda dia pergi ke tempat yang lebih baik," ujarnya.

Selain itu, Nora turut menyifatkan Allahyarham seorang suami yang penyayang dan kuat berkerja. Beliau juga akan memastikan usaha Allahyarham dalam beberapa projek akan diteruskan.

"Orang selalu ingat kami orang senang tapi sebenarnya tidak, tapi Allahyarham kuat bekerja dan memastikan kehidupan kami cukup.

"Saya tidak ada kenangan pahit dengan dia. Semua kenangan bersamanya adalah kenangan manis," ujarnya., menurut laporan mStar.

Nora dan Allahyarham Johan berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlis, 13 dan Putri Nur Fatehah, 5 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Sumber : Agensi berita/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan