Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Netanyahu pertimbang tarik balik alat pengesan logam di Masjid al-Aqsa

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sedang menimbangkan sama ada untuk menarik balik penggunaan alat pengesan logam di tempat-tempat suci Baitulmakdis selepas alat sedemikian dipasang menyusuli serangan maut pada minggu lalu yang mencetuskan tunjuk perasaan di Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu pertimbang tarik balik alat pengesan logam di Masjid al-Aqsa

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)

Diterbitkan : 21 Jul 2017 03:27PM Dikemas Kini : 21 Jul 2017 03:32PM

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sedang menimbangkan sama ada untuk menarik balik penggunaan alat pengesan logam di tempat-tempat suci Baitulmakdis selepas alat sedemikian dipasang menyusuli serangan maut pada minggu lalu yang mencetuskan tunjuk perasaan di Palestin.

Demikian menurut seorang menteri kabinet Israel pada Khamis (20 Jul).

Pertempuran berlaku setiap malam antara warga Palestin yang membaling batu dengan pihak berkuasa Israel yang menggunakan gas pemedih mata di bahagian timur Baitulmakdis yang dicerobohi Israel sejak alat pengesan logam itu dipasang pada Ahad lalu.

Keadaan masih tegang lebih-lebih lagi sebelum solat Jumaat di mana ribuan Muslim menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.

Tentera Israel menyatakan pihaknya akan mengerahkan lima batalion ke Tebing Barat jika perlu.

Badan-badan Islam menegaskan bahawa alat pengesan logam itu mencabuli perjanjian bagi tempat ibadah dan peraturan keselamatan di Baitulmakdis, yang menggesa warga Palestin supaya jangan melaluinya dan mereka mengerjakan solat dekat pintu masuk kompleks tersebut.

Encik Netanyahu dijangka akan mengadakan rundingan keselamatan berhubung isu ini dan beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas pulang ke Israel dari lawatan ke Perancis dan Hungary, kata Gilad Erdan, Menteri Keselamatan Awam.

Para anggota berhaluan kanan pemerintah pimpinan Encik Netanyahu menggesanya secara terbuka supaya mengekalkan peralatan tersebut, tetapi laporan media Israel menyatakan para ketua keselamatan berbelah bagi dalam isu ini ekoran tunjuk perasaan yang dikhuatiri merebak ke timur Baitulmakdis dan Tebing Barat.

PERTEMPURAN DI GAZA

Di Tebing Barat semalam, seorang warga Palestin cuba menikam dua askar Israel dan ditembak mati, menurut tentera Israel. Tidak jelas sama ada serangan itu berlaku akibat ketegangan di tempat suci tersebut.

Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas yang mentadbir Gaza menggesa para penunjuk perasaan supaya bersemuka dengan para askar Israel di tebing kawasan berkenaan.

"Jadikan Jumaat ini satu titik peralihan bagi melindungi Baitulmakdis dan al-Aqsa," kata Haniyeh dalam ucapannya di televisyen.

Jumaat lalu, tiga penembak Arab-Israel menembak mati dua pegawai polis Israel di luar kawasan Temple Mount-Noble Sanctuary, yang merupakan salah satu serangan paling dahsyat pernah berlaku di kawasan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Para penyerang itu dibunuh oleh pasukan keselamatan.

Israel menutup kawasan tersebut buat seketika, untuk memasang alat pengesan logam, yang menurut pihak berkuasa Israel adalah satu perkara biasa di tempat-tempat ibadah di serata dunia.

Tentera Israel mencerobohi timur Baitulmakdis dan Tebing Barat semasa perang Timur Tengah pada 1967.

Palestin sedang berusaha menubuhkan negaranya sendiri di Tebing Barat dan Carikan Gaza, dengan timur Baitulmakdis sebagai ibu kotanya. 

Sumber : Reuters/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan