Nahas USS McCain boleh dielak; komander kapal dilepaskan tugas
Pelanggaran USS McCain dengan sebuah kapal dagang berhampiran Singapura yang mengorbankan 10 anak kapal boleh dielakkan, menurut Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) semalam (10 Okt) setelah ia melepaskan komander kapal perang itu dan timbalannya daripada tugas mereka
TOKYO: Pelanggaran USS McCain dengan sebuah kapal dagang berhampiran Singapura yang mengorbankan 10 anak kapal boleh dielakkan, menurut Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) semalam (10 Okt) setelah ia melepaskan komander kapal perang itu dan timbalannya daripada tugas mereka.
"Pegawai pemerintah (kapal itu) membuat pertimbangan yang kurang tepat dan pegawai eksekutif pula menunjukkan kepimpinan yang kurang berwawasan berhubung program latihan kapal itu," demikian diumumkan Armada Ketujuh USS dalam satu kenyataan.
Kapten kapal, Komander A. Sanchez dan pegawai eksekutifnya, Komander J. Sanchez dikerahkan ke tugas lain di Jepun, di mana Armada Ketujuh itu berpangkalan, menurut Tentera Laut AS.
Para penyelam sudah menemui kesemua 10 mayat anak kapal yang hilang menyusuli nahas yang membabitkan kapal pemusnah peluru berpandu dan kapal tangki minyak Alnic MC yang sedang menuju ke Singapura.
Singapura turut menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat, bersama Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Malaysia.
Operasi tersebut meliputi kawasan seluas 5,524 km persegi dan melibatkan lebih 300 kakitangan termasuk daripada Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Angkatan Bersenjata Singapura, Pengawal Pantai Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.