Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Myanmar haramkan pekerjanya dari ke M'sia sedang krisis Rohingya meruncing

Myanmar sudah mengharamkan para pekerjanya daripada ke negara jiran, Malaysia, setelah hubungan antara kedua-dua negara itu menjadi buruk ekoran isu pembunuhan Muslim di Rohingya.

Anggaran Waktu Membaca:
Myanmar haramkan pekerjanya dari ke M'sia sedang krisis Rohingya meruncing

Pelarian Rohingya membantah penindasan Rohingya di Myanmar, di Kuala Lumpur. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2016 04:22PM Dikemas Kini : 07 Dec 2016 04:31PM

YANGON: Myanmar sudah mengharamkan para pekerjanya daripada ke negara jiran, Malaysia, setelah hubungan antara kedua-dua negara itu menjadi buruk ekoran isu pembunuhan Muslim di Rohingya.

Langkah itu diambil selepas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kata-kata keras terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana "membenarkan pembunuhan kaum" berlaku di wilayah Rakhine, dalam ucapannya di satu rapat Ahad lalu di Kuala Lumpur yang dihadiri ribuan orang.

Perhimpunan itu bagi membantah tindakan ketenteraan terhadap wilayah Rakhine di Myanmar yang memaksa lebih 20,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Mereka yang terselamat memberitahu AFP bahawa orang-orang Rohingya dirogol beramai-ramai, diseksa dan dibunuh oleh pasukan-pasukan keselamatan Myanmar, sementara puluhan orang mati ketika cuba menyeberangi sungai yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh.

Myanmar, yang kebanyakan penduduknya beragama Buddha, sudah lama mendiskriminasi terhadap orang-orang Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan, dan krisis baru-baru ini mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan di negara-negara Islam di serata rantau ini, termasuk di Malaysia.

"Kami mahu memberitahu Aung San Suu Kyi, cukup setakat ini...Kami mesti dan akan mempertahankan orang Islam dan Islam. Dunia tidak boleh berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan kaum berlaku," kata PM Najib dalam ucapan berapi-apinya kepada 5,000 peserta rapat pada Ahad lalu itu.

Seorang menteri Malaysia juga menyeru agar keanggotaan Myanmar dalam blok ASEAN disemak.

Para pegawai Myanmar menafikan dakwaan pencabulan kuasa dan Cik Suu Kyi memberitahu masyarakat antarabangsa supaya jangan mengapi-apikan keadaan.

HENTI KELUARKAN LESEN BARU BAGI WARGA BEKERJA DI M'SIA

Lewat semalam (6 Dis), kementerian imigresen Myanmar menyatakan ia sudah berhenti mengeluarkan lesen-lesen baru bagi para warganya untuk bekerja di Malaysia - yang selama bertahun-tahun merupakan destinasi popular bagi para pekerja asing.

"Myanmar sudah buat sementara berhenti menghantar pekerja ke Malaysia mulai 6/12/2016 disebabkan situasi sekarang ini di Malaysia," menurutnya dalam satu kenyataan, tanpa mengulas lanjut.

Malaysia kini mengambil puluhan ribu pekerja Myanmar, yang kebanyakannya mengambil pekerjaan bergaji rendah di kilang-kilang atau di industri makanan dan pelayanan.

Menurut Malaysia, sekitar 56,000 orang Rohingya sudah tiba di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ramai sanggup melakukan perjalanan bot yang penuh bahaya untuk melarikan diri dari kemiskinan dan diskriminasi di wilayah Rakhine.

Namun semalam, mantan ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, yang mengetuai suruhanjaya tentang Rakhine, memberitahu para wartawan bahawa beliau berpendapat krisis itu tidak akan memecahbelahkan rantau ini.

"Saya rasa ini boleh dikawal. Ada kemungkinan apa yang sedang berlaku ini boleh dibendung," katanya dalam satu sidang media di Yangon pada akhir lawatan selama seminggu. 

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan