Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mike Pence akan kunjungi masjid terbesar Indonesia dalam usaha dampingi Muslim

Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence akan mengadakan lawatan ke masjid terbesar di Indonesia hari ini (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Mike Pence akan kunjungi masjid terbesar Indonesia dalam usaha dampingi Muslim

Mike Pence (kiri) akan mengadakan lawatan ke Masjid Istiqlal. (Gambar: AFP/Kazuhiro NOGI)

Diterbitkan : 20 Apr 2017 11:56AM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 12:04PM

JAKARTA: Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence akan mengadakan lawatan ke masjid terbesar di Indonesia hari ini (20 Apr).

Ini adalah satu langkah simbolik bagi seorang timbalan yang datang dari pentadbiran yang dituduh menggalak islamofobia.

Encik Pence akan mengadakan lawatan ke Masjid Istiqlal dan mengadakan dialog silang agama semasa hari pertama lawatannya ke Jakarta, menurut Rumah Putih.

Lawatan Encik Pence mewakili usaha paling berprofil tinggi dalam mendampingi masyarakat Muslim oleh pentadbiran Encik Trump sejak beliau menyandang jawatan itu. Lawatan itu pernah diadakan oleh Encik Barack dan Michelle Obama pada tahun 2010.

Sekitar 90 peratus daripada 255 juta rakyat Indonesia beragama Islam.

Sejak menyandang jawatan presiden hampir 100 hari yang lalu, Encik Donald Trump sudah menjadi tuan rumah kepada para pemimpin dari negara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Jordan, Iraq, Arab Saudi dan Mesir.

Namun dalam pada itu pentadbirannya juga melarang penduduk dari beberapa negara yang majoritinya penduduknya Muslim daripada memasuki Amerika Syarikat, atas alasan kebimbangan tentang ancaman pengganasan. Larangan itu kini sedang dicabar oleh mahkamah-mahkamah Amerika.

Sebagai calon presiden, Encik trump sering dilihat sebagai seseorang yang mengundang amarah kumpulan sayap kanan politik sedang beliau dengan lantang membantah "pengganasan radikal".

Lawatan Encik Pence itu disambut oleh negara tuan rumah, yang menyatakan mereka berharap ia mencerminkan perubahan sikap Amerika terhadap Islam.

Ketua Majlis Ulema Indonesia, Maruf Amin memberitahu AFP: "Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang besar, dengan pengaruh yang besar. Maka ia seharusnya menonjolkan dirinya sebagai sebuah negara yang mesra dengan semua orang."

"Harapan kami, lawatan Encik Pence menandakan perubahan sikap, sekurang-kurangnya mereka sedang berubah daripada pendirian tidak menyukai Islam."

Pengarah Ehwal Amerika Kementerian Ehwal Luar Adam Mulwarman berkata beliau yakin "lawatan ke Masjid Istiqlal mencerminkan keinginan Amerika Syarikat untuk lebih terbuka kepada Islam, untuk menyertai dialog silang agama".

Meskipun Indonesia sudah lama dianggap sebagai contoh negara yang bertolak ansur terhadap berbilang agama, sikap tidak bertolak ansur dalam agama kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan serangan-serangan yang dilancarkan oleh kumpulan tegar Islam ke atas kaum minoriti.

Para pengkritik berkata kes gabenor Jakarta yang beragama Kristian, yang dibicarakan atas tuduhan penistaan agama kerana didakwa menghina al-Quran, menunjukkan bagaimana kebebasan agama kian tergugat.

Semalam (19 Apr), seorang calon Muslim menumpaskan pesaingnya yang beragama Kristian dalam pilihan raya gabenor Jakarta.

Pemenangnya, Anies Baswedan dituduh menyedapkan hati kumpulan-kumpulan tegar untuk memancing undi.

PERBETUL TANGGAPAN

Lawatan Encik Pence ke Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Australia sekarang bertujuan memperbetul tanggapan tentang retorik Encik Trump.

Di Korea Selatan dan Jepun, Encik Pence mengurangkan pengisytiharan "Amerika diutamakan" dan mengesahkan komitmen perjanjian Amerika Syarikat terhadap keselamatan kedua-dua negara sedang ketegangan memuncak berhubung program nuklear Pyongyang.

Namun para penganalisis berkata usaha Encik Pence mendampingi masyarakat Muslim berkemungkinan tidak cukup untuk meredakan kebimbangan bahawa pentadbiran Encik Trump adalah anti-Islam.

"Pengumuman agresif Encik Trump terhadap Islam dan Muslim sudahpun menjejas reputasi beliau. Ia memerlukan lebih daripada setakat lawatan ke Timur Tengah untuk memperbaiki keadaan," kata Encik Fawaz Gerges, seorang pakar Timur Tengah dan Islam dari Sekolah Ekonomi London.

Di Jakarta, Encik Pence juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo yang sedang mencuba untuk mengubah ekonomi dan mempertingkat projek-projek prasarana.

Agenda itu boleh mewujudkan titik persamaan. Pentadbiran Encik Trump juga memuji "kepimpinan Encik Joko Widodo berhubung anti-pengganasan".

Indonesia sudah lama bergelut dengan isu militan.

Rundingan juga mungkin menyentuh tentang ketegangan di Laut China Selatan antara kapal-kapal Indonesia dengan China di perairan berdekatan Kepulauan Natuna.

Sumber : Reuters/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan